Mas Fawzi merupakan seorang ahli akademik berpengalaman dan pakar dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal, dengan latar belakang pendidikan yang mengagumkan.
Mas Fawzi merupakan seorang ahli akademik berpengalaman dan pakar dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal, dengan latar belakang pendidikan yang mengagumkan.

Profesor Dr Mas Fawzi dilantik Naib Canselor Ke-5 UTHM

ROSHLAWATY MD RAIEHROSHLAWATY MD RAIEH
14 Jul 2025 09:00pm

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menerima teraju baharu apabila Profesor Dr Mas Fawzi Mohd Ali, 51, diumumkan sebagai Naib Canselor Ke-5 universiti itu, berkuat kuasa 14 Julai 2025 untuk tempoh dua tahun.

Pelantikan itu merupakan satu detik penting bagi UTHM, apatah lagi beliau membawa bersama pengalaman luas dalam bidang akademik, kejuruteraan, pentadbiran universiti serta pernah menimba pengalaman dalam sektor industri.

Menurut kenyataan rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Mas Fawzi merupakan seorang ahli akademik berpengalaman dan pakar dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal, dengan latar belakang pendidikan yang mengagumkan.

"Beliau memulakan pengajian tinggi di United Kingdom dengan memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sistem Elektromekanikal dari University of Manchester Institute of Science and Technology (UMIST) pada tahun 1997. Kemudian, menyambung pengajian di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan meraih Ijazah Sarjana dalam Kejuruteraan Mekanikal (Penyelidikan) pada 2007.

"Tidak terhenti di situ, beliau berjaya menamatkan pengajian peringkat Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Kejuruteraan Alam Sekitar Hidupan dan Bumi dari University of Tokushima, Jepun pada tahun 2009," maklum KPT pada Isnin.

No Image Caption

Selain itu, KPT memaklumkan, Mas Fawzi memiliki pengalaman yang luas dalam tadbir urus universiti dan telah memegang pelbagai jawatan pentadbiran.

Artikel Berkaitan:

Antara jawatan penting yang pernah disandang termasuk Timbalan Dekan, Pusat Pengajian Siswazah; Timbalan Dekan (Penyelidikan, Pembangunan dan Penerbitan), Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan; Pengarah, Pejabat Perancangan Strategik dan Pengurusan Risiko; Penolong Naib Canselor (Perancangan Strategik dan Perhubungan Korporat) dan Penolong Naib Canselor (Strategik dan Kualiti), UTHM.

Menariknya, Mas Fawzi pernah menimba pengalaman dalam sektor industri sebagai Jurutera Kalibrasi di Samsung Electronics Display Sdn Bhd dan Jurutera Industri di Sharp-Roxy Electronics Sdn Bhd sebelum menyertai perkhidmatan awam pada 2004.

"Gabungan pengalaman pentadbiran dan lapangan yang beliau miliki adalah aset berharga yang akan membantu beliau menerajui UTHM menjadi pusat ilmu dihormati, inovatif dan relevan dengan keperluan semasa," jelasnya.

Dalam pada itu, kementerian turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada mantan Naib Canselor UTHM, Datuk Profesor Ir Ts Dr Ruzairi Abdul Rahim atas segala jasa dan bakti sepanjang menerajui UTHM sebelum ini.

 

 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp