Gambar kecil: Mazliham
Gambar kecil: Mazliham

Program baharu bidang AI seiring kehendak masa depan

QURRATUL AINA QUDDUSQURRATUL AINA QUDDUS
09 May 2025 08:30am

Hampir 100 program ditawarkan di Universiti Multimedia (MMU) pada Hari Terbuka yang akan diadakan di kampus Cyberjaya dan Melaka bulan ini.

MMU menampilkan program baharu yang ditawarkan oleh Fakulti Kecerdasan Buatan dan Kejuruteraan (FAIE) dengan tarikan utama lain iaitu kewujudan Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) dalam Kecerdasan Buatan Gunaan (Applied Artificial Intelligence) bersama program lain.

Ia berdasarkan kepada kecerdasan buatan (AI) yang dianggap sangat popular dan diperlukan di negara ini.

Presiden MMU, Profesor Datuk Dr Mazliham Mohd Su’ud berkata, peningkatan penggunaan teknologi berkenaan dalam pelbagai sektor telah mewujudkan keperluan mendesak terhadap tenaga kerja mahir terutama dalam bidang tersebut.

Menurutnya, program AI Gunaan yang ditawarkan univerisiti berkenaan memberi penekanan kepada kemahiran kritikal seperti pembelajaran mesin (machine learning), automasi dan reka bentuk sistem pintar yang kini menjadi nadi kepada transformasi pasaran pekerjaan global.

“Ini bukan sekadar satu lagi program baharu, tetapi satu inisiatif strategik yang seiring dengan kehendak masa depan.

“MMU tidak hanya melahirkan graduan untuk mengisi pekerjaan semasa, malah membina pemimpin masa depan dalam ekonomi digital yang dipacu oleh inovasi AI dalam pelbagai sektor,” katanya.

Hari Terbuka MMU itu turut memberi peluang kepada pelawat untuk meninjau kemudahan moden universiti, berinteraksi dengan tenaga pengajar serta memahami secara lebih mendalam bagaimana elemen AI diterapkan dalam struktur kurikulum pengajian.

Artikel Berkaitan:

Tidak hanya itu, MMU juga menawarkan Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Kepujian) dalam Kecerdasan Buatan dan Sarjana Teknologi Maklumat dalam Kecerdasan Buatan serta Keselamatan Siber.

Program-program berasaskan AI ini dijangka menerima sambutan yang menggalakkan daripada pelajar dan ibu bapa yang ingin mendapatkan laluan pendidikan yang menepati kehendak pasaran kerja masa hadapan.

Sebagai rekod, pengambilan pelajar bagi sesi Julai 2025 kini dibuka sehingga 11 Ogos depan.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp