Dari kanan, Muhammad Saniy, Naharudeen, Mohamad Shahrul dan Pegawai Pejabat Pendidikan Daerah Baling, Kedah, Muhammad Solehuddin Abdul Roni sebagai moderator dalam slot Pembinaan Karakter pada Program Pembinaan Karakter Bangsa Malaysia.
Dari kanan, Muhammad Saniy, Naharudeen, Mohamad Shahrul dan Pegawai Pejabat Pendidikan Daerah Baling, Kedah, Muhammad Solehuddin Abdul Roni sebagai moderator dalam slot Pembinaan Karakter pada Program Pembinaan Karakter Bangsa Malaysia.

Program Pembinaan Karakter Bangsa Malaysia tampilkan 2 ikon muda sebagai panel

ROSHLAWATY MD RAIEH
14 Aug 2023 05:38pm
A
A
A

Dua ikon muda yang hebat dan cemerlang dalam bidang masing-masing telah dijemput sebagai panel bagi slot Pembinaan Karakter dalam Program Pembinaan Karakter Bangsa Malaysia di Ellisa Garden, Titi Gajah, Alor Star, Kedah pada Khamis.

Mereka ialah Muhammad Saniy Samsudin (Ikon Mahasiswa) dari Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan, Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Mohamad Shahrul Yusoff (Ikon Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dari Kolej Vokasional (KV) Sungai Petani 2, Kedah.

Dalam program yang dilaksanakan Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian, Kementerian Pendidikan (KPM) itu, Muhammad Saniy yang baru sahaja pulang dari Amerika Syarikat setelah mengikuti program Inisiatif Pemimpin Muda Asia Tenggara (YSEALI) di Texas, Philadelphia, Washington dan New York telah menceritakan pelbagai pengalaman menarik sepanjang berada di sana.

No Image Caption

Antara yang dikongsi beliau adalah perkembangan, cabaran, sejarah, kejayaan perusahaan dan pemimpin masyarakat di Amerika Syarikat serta di peringkat global.

Selain itu, Muhammad Saniy yang juga Pemenang Kluster Kepimpinan Pelajar, Anugerah kepimpinan Kolej Kediaman Terbaik sempena majlis Anugerah Tokoh Siswa Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) baru-baru ini, turut memberi semangat kepada pelajar dari sekolah harian biasa supaya tidak bersikap ‘rendah diri’.

Muhammad Saniy
Muhammad Saniy

Antara nasihatnya adalah pelajar dari sekolah harian biasa juga boleh meraih kecemerlangan sekiranya memfokuskan keberhasilan yang mencakupi kepelbagaian kompetensi dengan menekankan keterangkuman unsur karamah insaniah iaitu karakter, kompetensi dan indikator.

Artikel Berkaitan:

Bagi Mohamad Shahrul pula, beliau berkongsi kisah kejayaannya yang telah membuka perniagaan sendiri selepas tamat pengajian di KV.

“Walaupun saya tidak melanjutkan pengajian ke peringkat institut pengajian tinggi (IPT), namun saya tetap berbangga kerana berjaya membuka tiga cawangan salon gunting rambut hasil menimba ilmu di KV Sungai Petani 2,” ujarnya yang merupakan lepasan program Diploma Perakaunan.

Selain Muhammad Saniy dan Mohamad Shahrul, seorang ahli akademik iaitu Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perlis, Naharudeen Othman turut menjadi panel dan berkongsi nilai kemampanan, kesejahteraan, berdaya cipta, hormat, berkeyakinan dan ihsan kepada hadirin yang hadir.

Fadhlina (tengah) merasmikan program yang diadakan di Ellisa Garden, Titi Gajah, Alor Star, Kedah.
Fadhlina (tengah) merasmikan program yang diadakan di Ellisa Garden, Titi Gajah, Alor Star, Kedah.

Program Pembinaan Karakter Bangsa Malaysia yang dirasmikan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek merupakan satu inisiatif penting membina moral yang berkonsep Anak yang Baik lagi Cerdik (ABC) dalam melahirkan generasi bijak pandai dan mempunyai sahsiah diri yang baik.

Program yang objektifnya memupuk karakter bangsa Malaysia berteraskan patriotisme, kepimpinan dan tanggungjawab sosial itu termasuk dalam inisiatif Pelan Pembangunan Pendidikan Negara yang sebahagiannya menghimpunkan pelajar lepasan menengah dalam satu program membabitkan pelajar Tingkatan Enam, Institut Pendidikan Guru (IPG), Kolej Matrikulasi dan KV tahun 2023 di negeri Selangor, Kedah dan Pulau Pinang.

Sebahagian orang ramai yang hadir pada Program Pembinaan Karakter Bangsa Malaysia baru-baru ini.
Sebahagian orang ramai yang hadir pada Program Pembinaan Karakter Bangsa Malaysia baru-baru ini.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok