Program Putra Bakti Future Entrepreneur: Road to Success, didik nilai keusahawanan dalam kalangan belia
Golongan belia yang sukar mendapat pekerjaan dalam sektor kerajaan atau swasta digalakkan menceburi bidang keusahawanan.
Ini kerana dunia keusahawanan menjanjikan pelbagai pekerjaan yang menarik dan mampu menjana pendapatan lumayan seperti menjalankan perniagaan dalam talian, menjual produk makanan dan lain-lain.
Dalam usaha membantu golongan ini memilih bidang keusahawanan sebagai sumber pendapatan, baru-baru ini Universiti Putra Malaysia (UPM) Kampus Bintulu, Sarawak menganjurkan program Putra Bakti Future Entrepreneur: Road to Success bagi mendidik nilai usahawan dalam kalangan belia sekitar Bintulu dan warga UPM Kampus Bintulu.
Kira-kira 70 belia telah dipilih mengikuti program anjuran mahasiswa Kursus QKH2104 Usahawan Siswa (Kumpulan 1), Semester Kedua Sesi Akademik 2022/2023, universiti tersebut.
Menurut Pengarah Program, Wan Amrin Aniq Wan Abu Manshor, Putra Bakti Future Entrepreneur: Road to Success bertujuan memberi pendedahan mengenai cara penjanaan pendapatan yang betul.
Tambahnya, program tesebut juga berobjektif berkongsi ilmu pengetahuan dalam kalangan masyarakat tentang pengurusan kewangan yang akan digunakan semasa kecemasan.
Sambung Wan Amrin Aniq, terdapat empat sesi perkongsian ilmu yang disediakan kepada peserta.
“Empat sesi perkongsian ilmu itu adalah peranan usahawan dalam pemasaran di era digital; pengurusan kewangan yang efektif; bantuan kewangan untuk belia dan pendedahan kepada peluang perniagaan yang ada,” ujarnya.
Sementara itu, beberapa siri ceramah turut diadakan seperti The Psychology of Successful People yang disampaikan Muhammad Abdul Rahim Habib dan The Way To Be Success oleh pemilik Safura Bakery, Siti Nursafura Che Man.
Seterusnya, ceramah bertajuk Entrepreneur And Business dan Entrepreneurship: Sources of Finance yang disampaikan dua pensyarah UPM Kampus Bintulu iaitu Dr Anita Rosli dan Dr Aryaty Alwie turut mengisi sebahagian aktiviti dalam program tersebut.
Dalam pada itu, fasilitator program, Roslan Ismail berkata, program yang diadakan adalah sejajar dengan hasrat Naib Canselor UPM, Datuk Profesor Dr Mohd Roslan Sulaiman yang menyasarkan 90.5 peratus kebolehpasaran graduan UPM menceburi bidang perniagaan dan 130 usahawan siswa disasarkan untuk mendaftar perniagaan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
“Saya percaya, graduan UPM yang menceburi bidang perniagaan mampu bergelar usahawan berjaya jika mereka tahu teknik perniagaan.
“Justeru, program seperti ini bukan sahaja membantu belia untuk berjaya dalam perniagaan tetapi juga membantu mahasiswa menimba ilmu dalam keusahawan,” jelasnya.