Pupuk minat bidang kesihatan
Seramai 41 mahasiswa dan lima tenaga pengajar dari KPJ Healthcare University (KPJU) turut serta dalam penganjuran Hari Jururawat 2024 dan Hari Guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kompleks KLIA, Nilai, Negeri Sembilan baru-baru ini.
Program yang mendapat kerjasama SMK Kompleks KLIA dan Klinik Kesihatan KLIA itu telah dihadiri seluruh warga sekolah tersebut.
Objektif utama sambutan Hari Jururawat yang bertemakan Our Nurses, Our Future: The Economic Power of Care adalah untuk meningkatkan tahap kesihatan komuniti khususnya warga emas melalui perkhidmatan kesihatan dan perubatan menyeluruh sesuai dengan kehendak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Malah, penganjurannya juga dapat mewujudkan hubungan silaturahim lebih erat di antara masyarakat setempat, Klinik Kesihatan Kuaters KLIA dan juga warga KPJU.
Pelbagai aktiviti menarik telah diadakan sepanjang berlangsungnya program.
Antaranya, perkongsian ilmu mengenai ‘Perjalanan Menjadi Seorang Pelajar Jururawat’ oleh penuntut KPJU yang terdiri daripada Presiden Kelab Nursing Students Association (NUSA), Muhammad Farhan Salimi; Exco Akademik Kelab NUSA, Nurlaili Afrina Sabtu dan jururawat Hospital Pakar KPJ Kajang, Selangor merangkap alumni KPJU, Majeeda Abdul Hamid.
Aktiviti lain seperti demonstrasi resusitasi kardiopulmonari, simulasi Code Blue, pameran kesihatan daripada School of Nursing, School of Pharmacy dan School of Health Sciences turut memeriahkan program berkenaan.
Sementara itu, Muhammad Farhan berkata, pendedahan awal terhadap bidang kesihatan selepas peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) adalah langkah penting dalam menarik minat pelajar kepada pengajian bidang sains kesihatan di KPJU.
Ujarnya, usaha memupuk minat tersebut dilakukan menerusi penayangan video berkaitan aktiviti mahasiswa bidang kejururawatan sekali gus menarik perhatian pelajar Tingkatan Satu hingga Lima dalam jurusan ini.
Dalam pada itu, Timbalan Setiausaha NUSA, Nurul Farisyah Abdul Wahab berkata, dia teruja dapat menyertai program kemasyarakatan yang disifatkan bermanfaat kepada diri dan warga sekolah.
Jelasnya, aktiviti sedemikian bukan sahaja dapat memberi pengalaman berharga tetapi juga memupuk minat masyarakat sekeliling untuk memilih kursus kesihatan sebagai pilihan utama apabila berada di peringkat universiti.