Kumpulan peserta yang mengikuti program The Z.E.N di Institut Latihan FAMA Port Dickson baru-baru ini.
Kumpulan peserta yang mengikuti program The Z.E.N di Institut Latihan FAMA Port Dickson baru-baru ini.

Pupuk semangat kelestarian alam sekitar menerusi program The Z.E.N

ROSHLAWATY MD RAIEH
20 Jul 2023 05:16pm
A
A
A

Program Zero-Waste Environmental Network (The Z.E.N) yang diadakan di Institut Latihan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Port Dickson, Negeri Sembilan, Jun lalu merupakan program memperkasakan peserta dengan pemahaman kepentingan pengurusan sisa dan memupuk minda yang mampan.

Menurut Pengarah Majlis Rekabentuk Malaysia, Husaini Ismail, The Z.E.N yang disertai mahasiswa Tahun Akhir Diploma Komunikasi dan Media, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Negeri Sembilan Kampus Rembau serta masyarakat setempat itu menawarkan pelbagai aktiviti menarik kepada para peserta.

Tambahnya, selain aktiviti gotong royong membersihkan pantai berhampiran, The Z.E.N menyediakan slot seperti ceramah reka bentuk kitaran yang merangsang pemikiran; demonstrasi percetakan 3D yang berwawasan dan beberapa pertandingan menarik berkaitan kemahiran mengubah bahan buangan kepada produk boleh guna semula.

No Image Caption

Katanya lagi, program sebegini perlu diteruskan dari semasa ke semasa kerana banyak manfaat yang diperoleh oleh peserta terutamanya berkaitan penjagaan alam sekitar bagi membantu mengekalkan keseimbangan ekosistem.

Sementara itu, Penolong Rektor UiTM Cawangan Negeri Sembilan Kampus Rembau, Profesor Madya Dr Muhammad Hakimi Abdullah menjelaskan, The Z.E.N adalah program yang menarik kerana ia melibatkan kesedaran tentang alam sekitar.

“Setiap penuntut dan masyarakat setempat perlu melibatkan diri dalam amalan sifar sisa sepanjang menjalani kehidupan seharian.

“Ia harus diadakan sepanjang masa bagi memastikan persekitaran sentiasa bersih dan indah serta sedap mata memandang,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

No Image Caption

INFO

Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, UiTM Cawangan Negeri Sembilan, Kampus Rembau ditubuhkan pada 2017 dan menawarkan dua program akademik iaitu Diploma Komunikasi dan Media serta Sarjana Muda Komunikasi Massa (Kepujian) Penyiaran.

Visi fakulti adalah menjadi institusi akademik terulung dalam bidang komunikasi dan media serta menyediakan persekitaran yang kondusif untuk kecemerlangan dalam pengajaran, pembelajaran dan penyelidikan pada masa hadapan.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok