Pusat Islam UPM ringankan beban keluarga hantar siswa ke kampus

05 Oct 2023 12:58pm



Sempena kemasukan siswa baharu sesi akademik 2023/2024 ke Universiti Putra Malaysia (UPM), Pusat Islam kampus itu telah menganjurkan program Musafir Hana sebagai salah satu inisiatif membantu meringankan beban keluarga untuk menghantar penuntut mendaftarkan diri di sini.

Pengarah Pusat Islam UPM, Zuhaimi Abdul Rahim berkata, program bermula 29 September sehingga 1 Oktober lalu memperlihatkan fungsi masjid sebagai pusat perkhidmatan pembangunan ummah bukan sekadar tempat untuk beribadah sahaja.

“Apabila ibu bapa atau penjaga datang mendaftar anak-anak mereka sebenarnya banyak kos yang perlu dibelanjakan seperti yuran pembelajaran, barangan keperluan mahasiswa termasuklah kos perjalanan ke sini terutamanya mereka yang datang jauh dari Sabah, Sarawak, Perlis, Terengganu dan sebagainya.

“Oleh itu, program Musafir Hana ini menyediakan platform untuk para musafir beriktikaf di masjid pada waktu malamnya di samping menyediakan sarapan pagi,makan tengah hari dan minum malam secara percuma termasuklah kemudahan pengangkutan kepada musafir dari Masjid UPM ke kolej untuk mendaftar,” katanya.

Katanya, kemudahan ini turut diberikan kepada ibu bapa bukan Islam bagi meraikan sesiapa sahaja yang datang ke masjid dan merapatkan ukhwah antara komuniti.

Penyediaan khemah untuk berehat dan menyalin pakaian turut disediakan bagi memberi keselesaan kepada musafir wanita khasnya selain menyediakan bantal dan selimut untuk tidur kepada mereka yang bermalam di sini.

“Setakat ini hanya yang beragama Islam sahaja bermalam di masjid, tetapi kita juga menyediakan khemah untuk golongan bukan Islam berehat di tempat yang bersesuaian sekiranya mendapat permintaan daripada mereka.

“Bagaimanapun ada dalam kalangan mereka yang singgah di masjid untuk sarapan dan makan tengah hari dan kita sangat terbuka kepada sesiapa sahaja tetamu yang datang ke sini, kita meraikan mereka,” katanya.

Artikel Berkaitan:


Jelasnya, inisiatif ini bukan sahaja dilaksanakan pada musim pendaftaran siswa baharu sahaja malah turut dilakukan pada musim konvokesyen UPM setiap tahun sebagai kemudahan kepada ahli keluarga.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp