UiTM terus melakar pencapaian terbaik dalam QS WUR 2025.
UiTM terus melakar pencapaian terbaik dalam QS WUR 2025.

QS WUR 2025: Pencapaian UiTM terus meningkat bagi reputasi akademik

ROSHLAWATY MD RAIEHROSHLAWATY MD RAIEH
07 Jun 2024 12:13pm

Tahun ini, Universiti Teknologi Mara (UiTM) telah mencapai kedudukan 587 daripada 1,503 institusi dalam senarai QS World University Rankings (WUR) 2025 sekali gus meletakkannya berada dalam kelompok 39 peratus universiti terbaik di dunia.

Menurut kenyataan media UiTM pada Rabu, sebanyak 5,663 institusi dinilai dalam QS WUR 2025 dengan peningkatan ketara sebanyak 2,700 universiti baharu berbanding tahun lepas.

QS WUR diukur melalui sembilan indikator iaitu reputasi akademik, reputasi majikan, rangkaian penyelidikan antarabangsa, nisbah pelajar-fakulti, kemampanan, sitasi setiap fakulti, hasil pekerjaan serta pelajar dan fakulti antarabangsa.

Untuk lima tahun berturut-turut, UiTM menambah baik kedudukan bagi indikator reputasi akademik yang menjadi indikator terkuat universiti apabila naik 15 anak tangga dengan mencapai kedudukan 288 berbanding 303 tahun lepas.

UiTM juga mencapai kedudukan 234 bagi indikator reputasi majikan.

Bagi indikator rangkaian penyelidikan antarabangsa, skor UiTM meningkat daripada 24.3 kepada 68.6 tahun ini dan ia adalah yang tertinggi dicapai oleh UiTM antara kesemua indikator QS WUR 2025.

Manakala di peringkat global, rangkaian penyelidikan antarabangsa UiTM di kedudukan 503 seluruh dunia yang menandakan peningkatan ketara UiTM dalam penyelidikan akademik.

Sementara itu, Naib Canselornya, Profesor Datuk Dr Shahrin Sahib berkata, sejak pelaksanaan agenda UiTM 2025 pada 2021, UiTM sudah membuat penambahbaikan dalam meningkatkan reputasi akademik universiti.

Ujarnya, pencapaian itu dicerminkan untuk lima tahun berturut-turut dalam QS WUR 2025.

"Pada 2024, UiTM memulakan langkah dalam membangunkan Pelan Strategik UiTM 2030. Kami menjangkakan usaha ini akan terus diiktiraf secara positif di peringkat antarabangsa.

"Di samping itu, kami meneruskan visi UiTM dengan menekankan penghayatan nilai dan memenuhi misi untuk melahirkan graduan Bumiputera profesional yang berdaya saing dan berkualiti tinggi," ujarnya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp