Cikgu Kumaresan dinobatkan sebagai pemenang RISE Educator of the Year 2023.
Cikgu Kumaresan dinobatkan sebagai pemenang RISE Educator of the Year 2023.

Raikan kehebatan warga pendidik bersama Taylor’s College

18 Mar 2024 09:30am

RISE Educator Award kini kembali untuk tahun keempat, dengan meneruskan misi bagi meraikan dan mengiktiraf jasa hebat pendidik negara yang memberikan sokongan kepada pelajar mencapai pendidikan berkualiti dan saksama.

RISE Educator Award anjuran Taylor’s College dan bahagian penglibatan pelajarannya, The Risers serta pencalonan dibuka bermula 18 Mac hingga 17 April 2024.

Jemputan ini terbuka kepada semua untuk mencalonkan guru-guru melalui penyertaan penulisan cerita sepanjang 100 patah perkataan yang menggambarkan impak dan perbezaan yang dibuat dalam kehidupan pelajar mereka.

Tahun ini, penerima RISE Educator Award akan menerima wang tajaan sebanyak RM20,000 untuk menyokong usaha mereka membentuk persekitaran pendidikan yang positif di sekolah.

Menurut Pengarah Kampus Taylor's College, Josephine Tan, akronim RISE melambangkan Remarkable Impact in Student Education, yang menekankan peranan penting pendidik dalam membentuk kehidupan pelajar dan memupuk pendidikan inklusif.

"Taylor's College komited dalam menyokong warga pendidik yang bersemangat dan menginspirasikan pembelajaran yang memberi kesan dengan meningkatkan sumbangan bagi RISE Educator Award.

“Tujuan kami adalah memberdayakan guru-guru bagi menyebarkan misi mereka dan mencipta kesan yang positif dalam bilik darjah serta komuniti," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Cikgu Kumaresan (kiri) komited menyediakan pekerjaan yang saksama untuk pelajar berkeperluan khas dengan projek kedai dobi dan Pusat Latihan Rumah Tiruan di sekolah.
Cikgu Kumaresan (kiri) komited menyediakan pekerjaan yang saksama untuk pelajar berkeperluan khas dengan projek kedai dobi dan Pusat Latihan Rumah Tiruan di sekolah.

Sementara itu, pemenang RISE Educator of the Year 2023, Cikgu Kumaresan Muniandy dari Sekolah Menengah Pendidikan (SMK) Khas Vokasional Merbok di Kedah, menggunakan wang tajaan Taylor’s College untuk mengubah suai Pusat Latihan Rumah Tiruan (Mock House Training Centre) sekolah tersebut dengan barangan keperluan rumah.

Malah beliau memperkasakan Projek School Enterprise Kedai Dobi OKU dengan mesin-mesin bertaraf industri.

Langkah-langkah itu selaras tujuan Kumaresan untuk menyediakan peluang pekerjaan yang saksama demi memastikan pelajar berkeperluan khas dilengkapi, dilatih dan diberdayakan untuk pasaran pekerjaan.

Seorang lagi pendidik hebat, Cikgu Velerie Wheelervon Primus, penerima RISE Educator Award 2023, memimpin projek 'Bilik Terapi Sensory Bersepadu dan Projek Snoezelen' di Sekolah Kebangsaan (SK) Bingkor.

Projek yang digerakkan bertujuan menampung dan memberi manfaat kepada pelajar berkeperluan khas dengan autisme dan ADHD kerana kemudahan pembelajaran untuk keperluan pendidikan khas adalah terhad.

Dengan kawasan-kawasan dikhaskan bagi pengalaman multi sensori yang direka untuk para pelajar, Velerie berjaya menyediakan ruang yang selamat dan mesra buat kesejahteraan keseluruhan mereka.

"Inisiatif-insiatif yang mencetuskan inspirasi ini mencerminkan dedikasi dan keperihatinan warga pendidik negara kita yang melampaui kaedah pengajaran konvensional untuk mencipta pengalaman bermakna bagi pelajar mereka.

“Melalui RISE Educator Award, kami berharap naratif yang memberi impak ini menjadi sumber inspirasi bagi pendidik di seluruh negara dan dunia.

"Pada hakikatnya, di sebalik setiap pendidik yang bersemangat adalah kisah ketabahan, ketahanan dan komitmen yang teguh untuk membentuk minda.

“Kami menggalakkan semua untuk menyertai kami dalam meraikan dan mengiktiraf para pendidik kami dan usaha mereka untuk memperkukuhkan usaha mereka serta terus menginspirasi pembelajaran yang berkesan," ujar Josephine lagi.

Kegigihan Cikgu Velerie (kanan) dalam mendidik pelajar di SK Bingkor memberi inspirasi kepada ramai orang.
Kegigihan Cikgu Velerie (kanan) dalam mendidik pelajar di SK Bingkor memberi inspirasi kepada ramai orang.

Iktiraf guru pelbagai peringkat

Untuk rekod, RISE Educator Award mengiktiraf pendidik yang hebat dan penuh inspirasi.

Orang ramai boleh mencalonkan guru-guru dari pelbagai peringkat pendidikan di negara ini, termasuk sekolah kebangsaan dan sekolah menengah kebangsaan, prasekolah, sekolah swasta serta antarabangsa yang menunjukkan dedikasi luar biasa dalam komuniti sekolah mereka.

Daripada pencalonan itu, seramai 10 guru yang paling memberi impak akan disenaraikan dan profil mereka dipaparkan di platform media sosial Taylor’s College untuk diundi oleh masyarakat.

Lima guru dengan undian tertinggi akan melangkah ke peringkat akhir, dengan undian itu menyumbang 25 peratus kepada keputusan akhir.

Kisah-kisah mereka kemudian akan dinilai panel juri termasuk Ketua Pengawai Eksekutif Teach For Malaysia, Chan Soon Seng dan Kumaresan yang akan menilai usaha dan impak sumbangan guru tersebut, menyumbang 75 peratus menentukan penerima RISE Educator Award 2024.

Selain hadiah utama berjumlah RM20,000 untuk sekolah pemenang, penerima RISE Educator Award 2024 akan menerima RM5,000 dan pencadangnya akan membawa pulang RM500 sebagai hadiah tunai.

Empat finalis lain masing-masing akan menerima wang tajaan berjumlah RM10,000 untuk sekolah mereka dan menerima hadiah peribadi wang tunai RM1,000, manakala pencadang akan menerima RM250.

Kesepuluh kisah yang disenaraikan akan diumumkan pada 22 April 2024 untuk pengundian oleh orang ramai.

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Anugerah Pendidik RISE dan untuk mencalonkan seorang pendidik, sila layari https://college.taylors.edu.my/en/the-risers/rise-educator-award-2024.html.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp