Barry Win memiliki rekod prestasi kukuh dalam kepimpinan pendidikan tinggi yang bertaraf antarabangsa.
Barry Win memiliki rekod prestasi kukuh dalam kepimpinan pendidikan tinggi yang bertaraf antarabangsa.

Barry Winn dilantik Naib Canselor Taylor’s University

Tekad bawa perubahan sebagai institusi pendidikan peneraju global

05 Feb 2024 10:35am

Seiring langkah pendidikan global, Taylor‘s University mengumumkan pelantikan baharu Naib Canselor, Profesor Barry Winn pada minggu lalu.

Pengerusi Eksekutif Kumpulan Pendidikan Taylor‘s, Datuk Loy Teik Ngan berkata, pihaknya mengalu-alukan kehadiran Barry Winn dalam keluarga universiti itu yang dijangka mampu memantapkan lagi pengurusan kepimpinan pendidikan tinggi, penyelidikan dan membangun akademik pelajar.

“Kami amat menghargai dan mengalu-alukan kehadiran Barry Winn sebagai Naib Canselor dan Presiden Taylor‘s University yang baharu.

“Pengalaman luar biasa dan kepimpinan berwawasan beliau amat sesuai dengan komitmen kami untuk memupuk kecemerlangan dalam pendidikan.

“Kami sebenarnya sangat teruja untuk melihat sendiri perubahan yang akan dibawanya sekali gus membawa universiti ini ke satu tahap kejayaan dan inovasi baharu,” katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini.

Untuk rekod, Barry Winn mempunyai rekod prestasi yang kukuh dalam kepimpinan pendidikan tinggi.

Beliau sebelum ini merupakan Naib Canselor Universiti Sohar, Oman pada tahun 2015 hingga 2022, Timbalan Naib Canselor Pembangunan Akademik Universiti Bradford dan Naib Pro-Canselor Penyelidikan dan Perusahaan di Universiti Hull.

Barry Winn mula menggalas tanggungjawab besar sebagai Dekan Pusat Pengajian Sains Hayat, Universiti Bradford.

Artikel Berkaitan:

“Saya akan pastikan sasaran membolehkan universiti capai potensi sebagai peneraju global dalam pengajaran, pendidikan dan pemindahan pengetahuan yang progresif serta inovatif.

“Visi untuk sedekad akan datang adalah meletakkan Taylor‘s University sebagai institusi terkemuka dunia sekali gus menangani cabaran dunia moden.

“Untuk mencapai matlamat ini, kepimpinan saya akan mewujudkan persekitaran kampus yang positif, menjadikannya institusi pilihan komuniti pelajar yang pelbagai termasuk kakitangan itu sendiri,” katanya.

Satu lagi sisi menarik Barry Winn yang perlu diketahui umum adalah beliau pernah menyemak lebih 100 artikel jurnal dan beberapa naskhah buku. Ia sekali gus mencerminkan bahawa komitmen beliau memajukan ilmu pengetahuan dalam bidang optik dan sains penglihatan.

Beliau juga telah menyumbang kepada piawaian akademik melalui peranannya sebagai penyemak bagi Agensi Jaminan Kualiti (UK) dan Oman Academic Accreditation Authority (OAAA) serta berkhidmat sebagai pemeriksa luar untuk program prasiswazah dan pascasiswazah serta PhD di beberapa universiti seluruh dunia.

Kedudukannya dalam komuniti penyelidikan digariskan oleh keahlian berprestij termasuk menjadi Fellow of the Royal Society of Medicine (2003) dan American Academy of Optometri (2001).

Peranan Barry Winn sebagai Ahli Lembaga Penasihat Majlis Penyelidikan Perubatan dan persatuan dengan beberapa yayasan amal global turut menyerlahkan dedikasinya memajukan penyelidikan dalam kesihatan dan sains hayat.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp