Inovasi penggunaan elemen dan reka bentuk bagi bahan bantu mengajar mampu menarik minat dan kefahaman murid. Gambar kecil: Afifah Adriana.
Inovasi penggunaan elemen dan reka bentuk bagi bahan bantu mengajar mampu menarik minat dan kefahaman murid. Gambar kecil: Afifah Adriana.

Rakan UCTC bantu tingkat kualiti pendidikan luar bandar

01 Feb 2024 07:00am

Komuniti Orang Asli di daerah Kuala Lipis, Pahang, khasnya pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) RPS Betau, bertuah apabila dikunjungi mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) baru-baru ini.

Mana tidaknya, kunjungan daripada Persatuan Rakan Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC) di bawah UCTC UPSI turut mendapat kerjasama Jabatan Kerjasama Orang Asli (Jakoa) dan Pejabat Pendidikan Daerah Kuala Lipis melalui Program Kembara Angka Siri 1: Alternatif Penyelesaian Matematik.

Program pemindahan ilmu di SMK RPS Betau, Kuala Lipis itu memfokuskan komuniti Orang Asli yang terdiri daripada 40 murid tingkatan dua hingga lima dari beberapa buah sekolah dalam daerah Kuala Lipis bagi menguasai dan meningkatkan kemahiran subjek Matematik.

Pensyarah Fakulti Sains dan Matematik, Dr Shazlyn Milleana Shaharudin yang juga penyelaras program berkata, para pelajar didedahkan mengenai penggunaan Kit Mabox dan Kit Transiso sebagai bahan bantu mengajar (BBM) atau alat pemudah cara khususnya bagi topik Pelan dan Dongakan dan Transformasi Isometri dalam subjek Matematik.

“Kit pengajaran dan pembelajaran (PdP) ini merupakan pembangunan projek inovasi yang bertujuan membantu para pendidik menggunakannya sebagai alat bahan bantu mengajar dalam menyelesaikan permasalahan pelajar dalam topik Pelan dan Dongakan dan Transformasi Isometri yang melibatkan operasi melukis pelan dan dongakan serta mengenal pasti jenis transformasi iaitu translasi, pantulan dan putaran dengan lebih mudah” ujarnya.

Sementara itu, Pengarah UCTC, Profesor Madya Dr Mohd Azlan Nafiah berkata, usaha pelaksanaan program ini menggiatkan penyelidikan dan inovasi sebagai satu inisiatif libat sama universiti dan komuniti dalam menggembleng tenaga membantu meningkatkan tahap pendidikan di samping mendekatkan universiti dengan komuniti luar bandar.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UPSI, Profesor Dr Norkhalid Salimin pula berkata, inisiatif menggunakan Kit Mabox dan Kit Transiso sebagai bahan bantu mengajar dalam pendidikan Matematik itu dapat merangsang keinginan, minat dan fokus murid dalam meningkatkan penguasaan dan kefahaman yang lebih mendalam terhadap subjek Matematik khususnya kepada murid yang bakal menduduki peperiksaan SPM.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata, inovasi dalam penggunaan elemen dan reka bentuk bagi bahan bantu mengajar ini mampu menarik minat dan kefahaman murid dengan tujuan penambahbaikan dan peningkatan kemampanan universiti dan komuniti.

"Ia mampu meningkatkan mutu pendidikan di Malaysia setanding dengan negara maju dalam menghadapi dunia globalisasi yang semakin mencabar serta menjadikan pengisian pendidikan luar bandar lebih berkualiti, relevan dan memberikan kesan besar kepada semua pihak," katanya.

Maklumat Penulis

Penolong Pegawai Tadbir, UCTC UPSI, Afifah Adriana Aznan

Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp