Ramai nak masuk KPTM, tinggal dua kampus sahaja lagi!
Kolej Poly-Tech Mara (KPTM) menerima sambutan luar biasa daripada pelajar khususnya lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang memilih institusi itu sebagai pilihan tempat menyambung pengajian.
Permintaan tinggi para pelajar menjadikan institusi berkenaan kini hanya tinggal dua kampus yang masih mempunyai kekosongan untuk pengambilan baharu.
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, sehingga kini dimaklumkan bahawa, permohonan membuat rayuan bagi memasuki KPTM dengan jumlah pengambilan sekarang mencecah hampir 100 peratus.
“Lepas Subuh baca mesej ramai merayu (untuk masuk ke) KPTM. Saya dimaklumkan CEO KPTM, hanya KPTM Ipoh dan Kuantan yang masih ada tidak sampai 50 tempat sahaja lagi.
“Ramai nak masuk Mara!” tulisnya dalam satu kenyataan yang dimuat naik di aplikasi Facebook.
Institusi pendidikan di bawah Mara mempunyai tujuh kampus cawangan serta satu kolej universiti.
Dalam pada itu, tulisnya lagi, demi menjaga kesejahteraan para pelajar KPTM, beliau sudah meminta pengurusan KPTM untuk memastikan segala isu kebajikan diambil kira dengan serius.
“Kalau ada sebarang keluhan segera dan cuba sedaya upaya untuk tangani serta selesaikannya.
“Jika ada implikasi kewangan maklumkan pada pihak Mara segera. Insya-ALLAH saya akan bawa ke peringkat Majlis Mara dengan segera untuk diperhalusi dan dibantu,” katanya.
Tambahnya, Mara juga berusaha semaksima mungkin untuk terus berkolaborasi dengan pihak industri selain memastikan kurikulum dan modul yang ditawarkan relevan serta mempunyai nilai tambah seperti tambahan pengiktirafan profesional daripada pihak industri.
“Ini penting bagi membolehkan pelajar-pelajar mendapat pekerjaan dengan gaji bermaruah setelah tamat belajar.
“Alhamdulillah setakat ini, Mara masih kekalkan peratusan kebolehpasaran graduan IPMA melebihi 95 peratus iaitu lebih tinggi berbanding institusi-institusi pendidikan lain,” katanya.