Reka bentuk menarik, tahan lasak antara sebab beg tote digilai rama
Jika dahulu beg tangan dan wanita cukup sinonim digandingkan bersama namun hari ini ia turut digunakan kaum adam untuk mengisi pelbagai barangan.
Dilihat cukup praktikal dengan pelbagai saiz dan rekaan, hari ini ramai yang memilih beg buatan sendiri (homemade) seperti beg tote dan beg silang yang mempunyai nilai kreativiti selain mampu menarik minat pengguna.
Malah penggunaan beg tote juga dilihat semakin melonjak hari ini kerana model dan reka bentuknya yang sangat menarik sehingga ia sesuai digayakan dengan pelbagai jenis pakaian dan tempat.
Bukan itu sahaja, beg tote dan beg silang yang dibuat sendiri menggunakan kain kanvas juga tahan lasak berbanding beg lain di samping sesuai digunakan untuk membawa barangan berat seperti buku.
Menurut Pengajar Teknousahawan Rekabentuk dan Pengeluaran Fabrik, Institut Kemahiran MARA (IKM) Alor Setar, Kedah, Norishah Bahari, disebabkan penggunaan beg tote dan beg silang semakin mendapat tempat di hati pengguna, ramai pelajarnya mula menceburkan diri untuk menjadi usahawan produk berkenaan.
Katanya lagi, pelajar-pelajarnya bukan sahaja berminat untuk menghasilkan beg tangan buatan sendiri malah ada sesetengahnya sudah merancang untuk terlibat secara serius dalam perniagaan tersebut.
“Di IKM, kami sememangnya menerapkan ilmu perniagaan dan melatih pelajar menjadi usahawan sebelum tamat pengajian selama dua tahun.
“Dari sini, mereka boleh memilih bidang perniagaan yang ingin diceburi dan kebanyakannya berminat menjadi usahawan beg tangan disebabkan permintaan sekarang yang agak tinggi dan lumayan.
“Malah, mereka juga sangat kreatif apabila menghasilkan reka bentuk yang tersendiri dalam bentuk jahitan dan bukannya menggunakan mesin,” ujarnya ketika dihubungi Sinar Bestari, baru-baru ini.
Tambah Norishah, melihat kepada usaha dan idea pelajar-pelajar ini, ia sedikit sebanyak menyedarkan dirinya sebagai pengajar, mereka sememangnya berkemampuan untuk menjadi usahawan beg tangan yang berjaya satu hari nanti.
Tip menjadi usahawan beg tangan
1) Kreatif dan inovatif
Dalam usaha menjadi usahawan beg tangan, penting untuk menitikberatkan nilai kreatif dan inovatif dalam penghasilan produk. Ini kerana produk yang mempunyai kreativiti sendiri biasanya akan cepat dikenali.
2) Berani mencuba perkara baharu
Sebagai orang baharu dalam bidang penghasilan beg tangan, keberanian perlu diutamakan agar lebih yakin untuk terus kekal dalam bidang tersebut. Anda disarankan untuk berani belajar perkara baharu bagi menambah pengetahuan sedia ada. Ia sedikit sebanyak membantu menjana idea baharu dalam menghasilkan beg tangan lebih kreatif dan menarik.
3) Aplikasikan kemudahan teknologi dengan baik
Melihat kepada perkembangan teknologi hari ini yang bergerak pantas adalah perlu untuk setiap usahawan menggunakannya sebaik mungkin. Ia bukan sahaja meliputi mesin yang digunakan untuk menghasilkan beg tangan tetapi juga boleh digunakan sebagai platform mempromosikan produk yang dihasilkan.
4) Berpandangan jauh
Berpandangan jauh boleh didefinisikan sebagai satu kebolehan untuk menjangka perkara yang akan berlaku pada masa akan datang. Mereka yang ingin menceburi pembuatan beg tangan ini perlu bijak meramal trend dan gaya yang akan menjadi tumpuan pada masa depan. Dari sini, segala perancangan dan idea boleh dibuat bagi merebut peluang mengukuhkan perniagaan yang dibangunkan.