Cungkil bakat ‘tangan emas’ pelajar
Al Biruni Barber Shop SMK Jengka 6, Pahang, serlahkan kemahiran pelajar
Dunia hari ini pantas lagi maju dan pendidikan merupakan elemen penting dalam kehidupan agar manusia dapat bergerak seiring perubahan meliputi pelbagai aspek.
Di alaf baharu ini, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memperkenalkan Pembelajaran Abad ke-21 (PAK21) berteraskan elemen komunikasi, kolaboratif, pemikiran kritis, kreativiti dan aplikasi nilai murni serta beretika bagi memastikan para pelajar tidak ketinggalan dalam dunia yang berkembang pesat.
Bagi melaksanakan sistem itu, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jengka 6, Pahang mengambil inisiatif mewujudkan kedai gunting rambut di sekolah.
Menariknya, kedai itu diusahakan sendiri oleh pelajar lelaki yang berminat dalam bidang menggunting rambut.
Menurut guru yang juga penasihat Al Biruni Barber Shop, Noor Azmi Mohd Tajuddin, usaha mewujudkan kedai gunting rambut di sekolah ini tercetus apabila melihat ramai pelajar menunjukkan minat dalam bidang berkenaan.
“Al Biruni Barber Shop ini mula diwujudkan sejak tahun 2022 dan ia ditubuhkan selepas melihat ada satu bilik kosong yang dahulunya stor.
“Bermula dari situ, saya dan beberapa pelajar lain mengemas dan menubuhkan kedai gunting rambut di bilik tersebut.
“Yang menariknya, saya hanya sekadar melukis plan reka bentuk dalaman kedai dan selebihnya pelajar-pelajar yang melaksanakan projek berkenaan,” katanya kepada Sinar Bestari, baru-baru ini.
Kata Cikgu Azmi, masa yang diambil untuk membangunkan dan mengubah suai bilik itu menjadi kedai gunting rambut adalah selama seminggu.
•Kongsi beliau, segala kelengkapan seperti meja, lampu dan peralatan elektrik lain dihasilkan sendiri oleh pelajar.
“Ada yang mahir elektrik, jadi mereka yang melakukan pendawaian.
“Selebihnya yang mahir bertukang, maka merekalah yang bertungkus-lumus membuat perabot seperti meja yang kita kitar semula daripada mesin jahit yang sudah tidak digunakan,•”• jelasnya.
Sudah kurang ponteng sekolah
Cikgu Azmi turut memberitahu, sejak penubuhan kedai gunting rambut itu, ia sedikit sebanyak membantu meningkatkan kadar kehadiran pelajar.
Katanya, tidak semua pelajar hari ini minatnya ke arah akademik tetapi ada juga di antara mereka mempunyai kecenderungan terhadap kemahiran yang sama pentingnya dalam dunia pendidikan.
“Alhamdulillah, kadar kehadiran semakin meningkat khususnya dalam kalangan pelajar yang ada masalah kehadiran.
“Kita sebagai guru tidak boleh abaikan mereka dan perlu beri peluang dengan mencungkil minat serta kecenderungan seperti bertukang atau sebagainya.
“Ia akan menarik perhatian mereka bahawa sekolah bukan sahaja tempat akademik tetapi mengasah kemahiran,” ujarnya.
APA KATA MEREKA?
Pelajar Tingkatan Empat sekolah ini mula terlibat sebagai penggunting rambut di Al Biruni Barber Shop kerana minatnya yang mendalam dalam bidang ini.
Muhamad Amiruddin Noor Faizi berkata, kewujudan kedai gunting rambut di sekolah sedikit sebanyak membantu dirinya dan keluarga menjana pendapatan sampingan selain mengasah bakatnya dalam bidang ini untuk menjadi lebih mahir dan menguasai pelbagai jenis guntingan.
"Setakat ini, jenis guntingan yang saya boleh buat adalah low fade atau medium fade.
“Ini semua hasil menuntut ilmu daripada senior dalam masa dua tahun dan Alhamdulillah sekarang ada juga buat gunting rambut pelanggan di rumah,” kata remaja berusia 16 tahun itu.
Anak kedua daripada tiga beradik itu menambah, dengan kemahiran menggunting rambut ini dia juga dapat berjimat untuk tidak ke kedai kerana boleh menggunting rambut sendiri.
Sebagai pelajar sekolah khususnya lelaki adalah amat penting untuk menitikberatkan penjagaan rambut agar sentiasa kelihatan kemas.
Muhammad Muaz Asyraf Naruzli, 16, berkata, sejak adanya Al Biruni Barber Shop rata-rata rambut pelajar di sekolah ini lebih kelihatan kemas dan dipotong mengikut peraturan yang telah ditetapkan.
“Saya dan rakan-rakan yang boleh menggunting ini sebenarnya dapat mengasah lagi kemahiran agar lebih kemas.
“Bahkan, kami juga dapat mengurangkan tekanan belajar melalui minat ini,” ujarnya.
Mengakhiri perbualan, anak sulung daripada empat beradik itu menambah, sejak terlibat dengan aktiviti menggunting rambut di sekolah, dia mampu membuat tabung simpanan sendiri.