Majlis penyerahan bantuan kebajikan komprehensif kepada lima pelajar baharu berjalan lancar di Dewan Canselor, Kampus Induk UTeM baru-baru ini.
Majlis penyerahan bantuan kebajikan komprehensif kepada lima pelajar baharu berjalan lancar di Dewan Canselor, Kampus Induk UTeM baru-baru ini.

Rezeki lima pelajar baharu UTeM. ‘Ada antaranya terima enam faedah sepanjang pengajian’

ROSHLAWATY MD RAIEHROSHLAWATY MD RAIEH
17 Oct 2024 12:30pm

Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) memilih lima pelajar baharu kategori asnaf tegar bagi sesi 2024/2025 sebagai penerima bantuan kebajikan komprehensif.

Mereka terdiri daripada Dharshini Subramaniam, Nur Hidaayah Masri, Nurul Balqis Hairulnizam, Ruslina Hanani Rusli dan Muhamad Haiqal.

Dharshini dan Nur Hidaayah menerima Biasiswa Anak Emas UTeM menerusi Yayasan Tun Canselor yang membiayai pengajian mereka sepenuhnya.

Kedua-duanya akan mendapat enam faedah sepanjang pengajian iaitu ditanggung keseluruhan yuran sehingga tamat belajar, diberikan wang saraan hidup bulanan sebanyak RM500 dan wang awal pengajian RM1,500, seunit komputer riba setiap seorang, bantuan segera melalui Bank Makanan, penginapan asrama sehingga tamat pengajian serta bimbingan kerjaya dan kaunseling.

Dalam masa sama, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melalui Yayasan Perkasa Siswa turut bersetuju memberi sumbangan tambahan sebanyak RM500 seorang yang akan disampaikan dalam masa terdekat bagi membantu mengurangkan beban dua pelajar ini.

Untuk rekod, Dharshini Subramaniam merupakan anak yatim yang tinggal bersama ibu berstatus Orang Kurang Upaya (OKU) dan abang yang lumpuh akibat kemalangan sekali gus tidak mampu membantu menyara keluarga seperti sebelum ini.

Nur Hidaayah pula tinggal bersama ayahnya yang sakit di mana sebelum ini mengambil upah menoreh getah dengan pendapatan tidak menentu.

Sementara itu, pelajar ketiga, Nurul Balqis ditawarkan biasiswa Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) B40 di bawah kendalian KPT yang akan membiayai sepenuhnya yuran pengajian termasuk wang saku.

UTeM turut mengagihkan seunit komputer riba kepada Nurul Balqis, Ruslina Hanani dan Muhamad Haiqal bagi membantu pembelajaran mereka di sini.

Dalam pada itu, UTeM turut membela nasib 254 pelajar kanan B40 yang terkesan disebabkan perlu mencari rumah sewa di luar kampus bagi kemasukan Oktober sesi 2024/2025.

Mereka menerima RM250 setiap seorang oleh pihak UTeM bagi membantu membayar wang pendahuluan rumah sewa dan kumpulan pelajar ini telah diwakili Mohamad Ukashah sebagai simbolik penerima wang saguhati tersebut.

Menurut Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Ts Dr Massila Kamalrudin, universiti tersebut sentiasa di hadapan dan proaktif dalam membela nasib pelajar cemerlang (asnaf tegar) yang ingin menyambung pengajian dengan pakej inisiatif-inisiatif bantuan yang komprehensif.

Manakala Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA), Profesor Madya Datuk Dr Sabri Mohamad Sharif pula berkata, pejabat HEPA UTeM terus proaktif membantu pelajar baharu bagi memastikan setiap keperluan dipenuhi dan seterusnya memastikan mereka fokus belajar demi mencapai kejayaan cemerlang.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp