RM10,000 untuk MPP PUO
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir mengumumkan sumbangan sebanyak RM10,000 kepada Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Politeknik Ungku Omar (PUO), Ipoh, Perak dalam program kembara Semarak Ramadan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Singgah Sahur YB Menteri @ PUO pada Ahad.
Menurut kenyataan media PUO kepada Sinar Bestari, peruntukan tersebut adalah daripada Geran Yayasan Perkasa Siswa (YPS) bagi tujuan melaksanakan aktiviti pembangunan pelajar.
Pengarah PUO, Dr Shamsuri Abdullah merakam ucapan terima kasih kepada YPS dan berharap sumbangan yang diterima MPP dapat menjadi pemangkin kepada pelajar dalam mengembangkan bakat, pengetahuan dan kemahiran serta memupuk sifat kepimpinan dalam kalangan pelajar.
Yang Dipertua MPP PUO, Mohamad Alreean Albine tidak terkecuali merakam penghargaan dan ucapan terima kasihnya atas sumbangan geran yang diberikan itu.
Selain agihan sumbangan, kenyataan itu turut memaklumkan yang kunjungan Zambry ke politeknik itu mencerminkan keseriusan dan komitmen tinggi beliau dalam meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) agar sentiasa berada di tahap terbaik dalam memenuhi aspirasi Malaysia Madani.
Ia merupakan kunjungan pertama Zambry sebagai Menteri Pendidikan Tinggi sejak memulakan tugas rasmi 14 Disember 2023.
Malah kata Shamsuri, pihaknya berbesar hati dengan kunjungan Menteri Pendidikan Tinggi ke PUO dalam usaha melonjakkan kecemerlangan politeknik untuk mencapai status Politeknik APEX pertama di Malaysia, maklum kenyataan itu.
Selain Zambry, turut serta dalam ramah mesra bersama warga PUO adalah Timbalan Ketua Setiausaha KPT (Dasar), Datuk Dr Megat Sany Megat Ahmad Supian; Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan), Mohamad Azhan Md Ami dan Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dr Mohd Zahari Ismail.
Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid dan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Negeri Perak, Khairudin Abu Hanipah.