No Image Caption

Segulung diploma jadi pengubat rindu

07 Sep 2024 07:30am

Suasana gembira bertukar hiba pada Majlis Konvokesyen Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA) ke-21 apabila majlis menjemput wakil keluarga Allahyarham Tuan Muhammad Faiz Tuan Muhammad Zaki ke pentas bagi menerima skrol diploma bagi pihaknya.

Ramai ibu bapa, graduan dan pensyarah yang dilihat sebak dan mengalirkan air mata apabila gambar Allahyarham dipancarkan pada skrin utama.

Tuan Muhammad Faiz atau lebih mesra dengan nama sapaan Faiz merupakan graduan Diploma Kejuruteraan Mekanikal (Pembuatan) yang meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya sebelum sempat menghadiri majlis konvokesyen yang dinanti-nantikan.

Pengarah PSMZA, Zamra Derahman sewaktu memberi ucapan, menyatakan rasa kagum dan hormat terhadap keluarga Faiz.

“Hari ini, kita merasakan kehilangan dan kesedihan yang mendalam, tetapi kita juga merayakan pencapaian luar biasa Faiz. Ketiadaannya adalah satu kehilangan besar, namun pencapaiannya tetap menjadi inspirasi kepada kita semua,” ucapnya dalam nada yang sebak pada Khamis.

Suasana dewan menjadi hiba ketika ayah dan kakak Allahyarham, Tuan Muhamad Zaki Tuan Jiji dan Tengku Nurizzati Aliyah melangkah ke pentas bagi menerima skrol diploma atas nama Faiz.

No Image Caption

Tuan Muhamad Zaki mengucapkan terima kasih kepada pihak PSMZA dan semua yang hadir.

Artikel Berkaitan:

"Kami amat bersyukur kerana Faiz dapat menerima pengiktirafan ini. Walaupun dia tidak dapat bersama kami hari ini, kami yakin dia akan sentiasa dikenang melalui pencapaiannya," katanya.

Untuk rekod, Allahyarham merupakan anak kedua daripada dua adik beradik dan kehilangannya sangat dirasai dalam keluarga.

Majlis Konvokesyen PSMZA telah berlangsung selama tiga hari bermula 3 hingga 5 September ini dan telah meraikan seramai 931 graduan.

Penyampaian skrol pada siding ketiga majlis telah disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link (MRL) Sdn Bhd, Datuk Seri Darwis Abdul Razak

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp