Bengkel Pemerkasaan Mahasiswa sempena Mesyuarat MAKUM ke-106 bakal melaksanakan pelbagai program kebudayaan berimpak tinggi.
Bengkel Pemerkasaan Mahasiswa sempena Mesyuarat MAKUM ke-106 bakal melaksanakan pelbagai program kebudayaan berimpak tinggi.

Sekretariat Mahasiswa MAKUM ditubuhkan, bakal anjur program kebudayaan berimpak tinggi

ROSHLAWATY MD RAIEHROSHLAWATY MD RAIEH
01 Mar 2023 01:04pm

Sekretariat Mahasiswa di bawah Majlis Kebudayaan Universiti-Universiti Malaysia (MAKUM) akan ditubuhkan dalam masa terdekat sebagai barisan mahasiswa hadapan yang menguruskan aktiviti dan program kebudayaan serta kesenian di Universiti Awam (UA).

Menurut Pengerusi MAKUM, Profesor Dr Arifin Abdu, pemimpin mahasiswa yang menghadiri Bengkel Pemerkasaan Mahasiswa sempena Mesyuarat MAKUM ke-106 di Langkawi, Kedah, baru-baru ini, telah diberi peranan untuk menubuhkan sekretariat tersebut dengan memberi lebih banyak tanggungjawab dan ruang kepada mereka membuat keputusan.

“Sekretariat Mahasiswa MAKUM telah merancang beberapa program kebudayaan berimpak tinggi yang selari dengan konsep membangun Malaysia MADANI ke arah penyatuan bangsa negara yang mempunyai nilai budaya dan pemikiran.

“Antara perancangan yang bakal diadakan kelak adalah dikir barat, zapin dan kuda kepang sebagai muzik intrumentasi kepada kanak-kanak sindrom down di Malaysia, Jepun, Korea dan beberapa negara lain.

“Selain itu, program berimpak tinggi Perkampungan Budaya peringkat kebangsaan anjuran Universiti Sains Malaysia (USM) dan MAKUM juga akan dilaksanakan,” ujarnya dalam kenyataan media yang dikirimkan kepada Sinar Bestari.

Arifin yang juga Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata, Mesyuarat MAKUM ke-106 di Langkawi ini turut memfokuskan kepada perancangan, agenda dan hala tuju baharu yang bersandarkan kepada 11 aspirasi Menteri Pendidikan Tinggi.

Hadir sama dalam mesyuarat berkenaan adalah Timbalan Pengerusi MAKUM, Profesor Dr Azlinda Azman; Pengarah Bahagian Mahasiswa Holistik Kementerian Pendidikan Tinggi, Hirman Awang; pegawai MAKUM dan pemimpin mahasiswa (Kebudayaan dan Kesenian).

Sementara itu, Hirman berkata, MAKUM ialah majlis pertama UA yang melibatkan mahasiswa dalam mesyuarat dan bengkel untuk merangka dan melaksana aktiviti berimpak peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Artikel Berkaitan:

“MAKUM menekankan inovasi sosial dan keusahawanan sosial dengan melibatkan pemain industri dalam memperkasa kebudayaan bangsa dalam dan luar negara.

“Program Pengantarabangsaan Kebudayaan untuk membawa nama negara juga menjadi agenda utama wakil Majlis Perwakilan Pelajar dan Penggiat Seni Pelajar dari 20 buah UA dalam Mesyuarat MAKUM ke-106 kali ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, Arifin berkata, penubuhan Sekretariat Mahasiswa MAKUM adalah sejajar dengan hasrat Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin untuk melahirkan mahasiswa holistik yang bijak dan memiliki kemahiran tajam dalam menentukan hala tuju MAKUM.

Jelasnya, Menteri Pendidikan Tinggi juga berhasrat agar universiti mendedahkan mahasiswa dengan lebih banyak peranan, amanah dan mendapat pendidikan terbaik menerusi pendedahan serta penguasaan ilmu.

MAKUM merupakan sebuah organisasi yang ditubuhkan di bawah Jawatankuasa Sekretariat Timbalan-Timbalan Naib Canselor dan Timbalan-Timbalan Reaktor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) 20 UA di negara ini.

Ia ditubuhkan pada 11 Febuari 1993 untuk menangani hal ehwal kebudayaan universiti.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp