Semarak budaya inovasi mahasiswa menerusi I-IDEA 2023
Penganjuran Pertandingan Idea dan Inovasi Projek Pelajar Tahun Akhir (I-IDEA 2023), Universiti Putra Malaysia (UPM) memberi peluang kepada mahasiswa berkongsi idea dan inovasi yang berteraskan bidang rangkaian serta aplikasi sains komputer kepada pihak industri.
Menurut Pengarah I-IDEA 2023, Sazlinah Hasan, penganjuran pertandingan itu juga mampu memberi impak positif dalam pembentukan kemahiran insaniah para penuntut.
Kata Sazlinah, I-IDEA 2023 yang dianjurkan Jabatan Teknologi Komunikasi dan Rangkaian, Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat, UPM telah menjemput wakil-wakil industri sebagai juri bagi pertandingan tersebut.
“Antara yang menjadi juri ialah Pengarah Bahagian Penyelidikan dan Inovasi, Institut Sukan Negara, Dr Yeo Wee Kian; Pengarah Sakra EduTech (M) Sdn Bhd, Nimalan Sivananthan dan Timbalan Ketua Eksekutif Akademin, Cybernetic International College of Technology, Ihsan Lim Abdullah.
“Turut serta wakil Solutions Architect, Mesiniaga Berhad, Shahilawati Ibrahim; Penganalisis Program Public Bank Berhad, Raja Muhammad Zaqwan Shah Raja Zuhari dan wakil Software QA Engineer, Muhammad ‘Arif Firdaus Azman,” katanya.
Sementara itu, I-IDEA 2023 menyaksikan mahasiswa UPM, Azriel Hafny Noor Azli yang mengetengahkan aplikasi pengecaman mudah alih untuk makanan Korea iaitu K-Halal muncul sebagai juara pertandingan.
Manakala tempat kedua dimenangi oleh Muhammad Faiz Mohd Faizal dan Ahmad Izzudddin Mohd Hashim sebagai pemenang ketiga.
Kedua-dua penuntut UPM itu telah membangunkan inovasi menarik iaitu projek pemantuan keselamatan dan kualiti makanan mengguna blockchain berteraskan sistem Internet of Things (IoT) dan projek Sistem Pengecaman Bahasa Isyarat Masa-Nyata.
Diharapkan I-IDEA 2023 dapat meningkatkan lagi penglibatan dan kerjasama antara pihak industri bersama mahasiswa UPM bagi menghasilkan lebih banyak projek berdaya saing serta berpotensi dikomersilkan untuk penggunaan industri dan komuniti.