Mohd Foad beramah mesra dengan peserta GOCERP 2024.
Mohd Foad beramah mesra dengan peserta GOCERP 2024.

Seminar GOCERP kongsi penemuan penyelidikan

03 Sep 2024 04:30pm

Global Conference on Educational Research and Practices (GOCERP) 2024 mencerminkan era baharu pendidikan melalui mekanisme pembentangan dan penerbitan.

Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Datuk Dr Mohd Foad Sakdan berkata, penglibatan Consortium of Asia Pacific Education Universities (CAPEU) memainkan peranan penting dalam memupuk pelbagai perkongsian untuk seminar itu.

“Seminar ini menyediakan platform bagi penyelidik, saintis pendidikan, ahli akademik untuk bertukar-tukar idea dan berkongsi penemuan penyelidikan, memajukan arus pendidikan melalui mekanisme pembentangan serta penerbitan,” katanya.

Jelasnya, penganjuran itu juga bertujuan untuk menyerlahkan amalan terbaik, hasil penyelidikan dan kemajuan dalam kedua-dua inisiatif teknologi serta sosial bagi menangani cabaran era pendidikan baharu.

“Saya yakin bahawa penyertaan aktif kakitangan akademik, peserta antarabangsa dan pelajar pascasiswazah UUM akan meningkatkan potensi untuk menghasilkan prosiding berkualiti tinggi serta penerbitan jurnal terindeks.

“Seminar ini akan mewujudkan peluang kepada pakar dari pelbagai institusi untuk berkongsi penyelidikan dan pengalaman mereka, menyumbang kepada asas pengetahuan global serta meningkatkan kualiti pendidikan,” ucapnya ketika merasmikan GOCERP 2024 yang berlangsung di EDC-UUM, baru-baru ini.

Beliau berharap seminar ini dapat meluaskan rangkaian sekali gus mengukuhkan hubungan di kalangan pakar, seterusnya mempertingkatkan sistem pendidikan, khususnya dalam pengajaran dan pembelajaran.

Dalam pada itu beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua peserta dan menyifatkan penyertaan ini bukan sahaja menunjukkan sokongan padu malah menandakan permulaan kerjasama berterusan dalam penyelidikan serta penerbitan.

Artikel Berkaitan:

“Bagi pihak UUM, saya mengucapkan ribuan terima kasih atas dedikasi anda dalam menjayakan seminar ini,” katanya.

Seminar yang bertemakan ‘Future Proof-Education: Empowering Minds For Tomorrow’ itu dianjurkan oleh Pusat Pengajian Pendidikan (SOE) UUM dengan kerjasama Consortium of Asia-Pacific Education Universities (CAPEU), Universitas Muhammadiyah Profesor Dr Hamka (UHAMKA) dan Universitas Muhammadiyah Sidoarjo (UMSIDA).

Seminar selama dua hari itu menampilkan pengucap utama seperti Presiden CAPEU, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff, Pengerusi Majlis Profesor UUM, Profesor Dr Rosna Awang Hashim, Presiden Philippine Normal University (PNU), Filipina, Dr Bert J Tuga, Rektor UHAMKA, Profesor Dr H Gunawan Suryoputro dan Timbalan Rektor III UMSIDA, Dr Nurdyansyah.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp