SIDEC 2024 cungkil idea inovatif pelajar
International Student Invention, Innovation, Development Exhibition & Competition (i-SIDEC) 2024 diadakan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor, pada Selasa.
Program ini bertujuan menyediakan platform dinamik bagi pelajar sekolah dan pendidikan tinggi menghasilkan produk berteknologi dan inovatif untuk diperkenalkan kepada umum.
I-SIDEC 2024 turut memberi peluang kepada pelajar membentangkan idea secara bersemuka kepada wakil industri, agensi seterusnya membuka ruang untuk pengkomersialan serta pendanaan.
Ini selaras dengan agenda Globally Renowned University (GRU2025), di mana Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) UiTM berusaha untuk melahirkan pelajar super Bumiputera yang berdaya saing di peringkat global seterusnya menyokong penglibatan pelajar dalam pertandingan antarabangsa.
Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar, Profesor Dr Mohd Sazili Shahibi berkata, kerajaan sedang giat membangunkan sektor industri dan keusahawanan berasaskan revolusi industri 4.0, termasuk penglibatan dalam TVET dan kecerdasan buatan (Al), seperti digariskan dalam Dasar Kebangsaan Industry4WRD.
Ujarnya, penglibatan pelajar dari institut pengajian tinggi adalah kunci dalam menyumbang kepada pembangunan ini namun, banyak idea inovatif pelajar sering terhenti sebagai kerja kursus sahaja.
"Program SIDEC 2024 bertujuan mengenal pasti potensi pelajar yang mempunyai idea inovatif yang boleh diterapkan dalam keusahawanan.
"Idea-idea ini akan dinilai oleh panel pakar dan berpotensi untuk dikomersialkan melalui rangkaian industri yang hadir.
"Dengan ini, UITM berharap dapat membuka lebih banyak peluang dan menyokong perkembangan inovasi pelajar di peringkat nasional dan antarabangsa," katanya dalam satu kenyataan, Selasa.