Zambry Abd Kadir di Simposium Antarabangsa Malaysia Madani 2024.
Zambry Abd Kadir di Simposium Antarabangsa Malaysia Madani 2024.

Simposium Antarabangsa Malaysia Madani dalami nilai Islam

MOHD ANAS BAHARUDIN
05 Jul 2024 07:31am
A
A
A

Simposium Antarabangsa Malaysia Madani 2024: Islam dan Kesederhanaan diadakan untuk mengetengahkan prinsip nilai Islam moderat yang menjadi asas kepada idea semasa tentang Islam dan kesederhanaan.

Ia juga berfungsi meneroka strategi dan amalan terbaik memupuk kewujudan bersama secara aman, bersesuaian dengan pengenalan konsep Malaysia Madani sebagai kerangka persada global.

Simposium itu adalah anjuran Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) melalui Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Angkatan Belia Islam (ABIM).

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir turut menjadi panel jemputan dalam salah satu sesi perbincangan bersama sarjana jemputan yang lain dan turut merasmikan penutup simposium tersebut.

Selain itu, simposium berlangsung pada 3 dan 4 Julai, menampilkan lebih 15 tokoh terkemuka seluruh dunia seperti Presiden Institut Maqasid Kanada, Profesor Jasser Auda, Imam Besar Universiti Al-Azhar, Syeikh Ahmed Mohamed Ahmed El-Tayeb, Ketua Eksekutif, Cambridge Muslim College United Kingdom, Profesor Joel Hayward, Mufti Australia, Dr Ibrahim Abu Mohamad serta beberapa lagi sarjana jemputan.

Tambahan lagi, simposium ini bertujuan menjelaskan peranan institusi pendidikan tinggi, karya ilmiah dan dialog akademik antara Timur dengan Barat dalam memupuk keadilan sosial, rasa hormat serta persefahaman kepada Muslim moderat menuju abad ke-15 Hijrah.

Untuk rekod, simposium itu diserikan dengan kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Turut diadakan Majlis Konvokesyen Khas USIM 2024 menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Pengajian Quran dan Sunnah kepada Imam Besar Al-Azhar, Ahmed El-Tayeb.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok