'Sirih pulang ke gagang. Alma Mater. Bismillah' - Kongsi anak Timbalan Perdana Menteri di Instagram Story
Anak kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah dilantik sebagai ahli Lembaga Pengarah Universiti Putra Malaysia (UPM) berkuat kuasa 2 Januari 2025 hingga 1 Januari 2028.
Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid, graduan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, UPM pada tahun 1999 telah berkongsi berita baik itu di Instagram Story miliknya dengan hantaran ringkas berbunyi 'Sireh pulang ke gagang. Berilmu berbakti. Alma mater. Bismillah'.
Menguatkan lagi pelantikan tersebut adalah menerusi tularnya satu surat bertarikh 2 Januari 2025 yang memaklumkan pemilihan Nurulhidayah mewakili komposisi berpengetahuan dan berpengalaman selaras dengan Subseksyen 18 (1) Perlembagaan UPM untuk tempoh tiga tahun.
"Tahniah atas pelantikan ini dan saya yakin bahawa YBhg Dato (Yang Berbahagia Datuk) mampu menyumbang dan membawa UPM ke arah pencapaian kemajuan akademik dan organisasi yang lebih cemerlang.
"Dan ia selaras dengan hasrat kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan pendidikan serantau dan antarabangsa," catat Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir sebelum menandatangani surat tersebut.
Untuk info, wanita yang pernah menerima jolokan Ikon Belia Negara dilahirkan di Gombak, Selangor dan merupakan anak sulung daripada lima adik beradik.
Beliau pernah bekerja selama lima tahun di Syarikat Perumahan Negara Berhad sebagai Naib Presiden Komunikasi Korporat dan bergiat aktif dalam bidang perniagaan.
Sepanjang belajar sehinggalah tamat pengajian di universiti, beliau berkata yang dirinya tidak pernah berhenti bekerja.
"Sebenarnya saya juga tidak tahu apa itu perniagaan. Bagi saya, perniagaan adalah seperti sesuatu yang kita nampak secara kasar tetapi sebenarnya ia sangat terperinci.
"Saya sebetulnya tidak memiliki sebarang ilmu atau menuntut ilmu perniagaan di universiti, tetapi saya belajar daripada pengalaman,” katanya seperti dipetik dalam majalah tempatan siaran Mei 2017.