Siswazah berbakat angkat martabat UPSI, kata Naib Canselor
Kejayaan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) merangkul anugerah Public Higher Education Institution sempena The 7th Graduates Choice Award (GCA) baru-baru ini, adalah hasil bakat kecemerlangan dan inovasi luar biasa mahasiswanya.
Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata, pencapaian itu amat membanggakan sekali gus ia penghormatan kepada penjenamaan majikan siswazah yang dihormati dan berpengaruh di seluruh rantau Asia Pasifik.
"Malah, anugerah ini memberi pengiktirafan kepada industri yang berterusan menunjukkan kecemerlangan dan inovasi dalam mengekalkan bakat siswazah terbaik oleh institusi pengajian tinggi terkemuka di Malaysia," katanya selepas majlis tersebut di sebuah hotel, Bandar Sunway.
Md Amin berkata lagi, majlis CGA anjuran Talentbank itu juga menjadi panduan dan rujukan yang berharga kepada para pelajar universiti, di mana ia menyenaraikan industri serta majikan yang paling menjadi buruan graduan dan senarai ini terbentuk berdasarkan undian penuh oleh pelajar dan para graduan.
Untuk rekod, majlis bertemakan Starlit Crescendo: Honouring Outstanding Employers with Orchestral Grandeur itu meraikan pemenang-pemenang anugerah dalam pelbagai kategori dan memberi pengiktirafan kepada industri serta institusi pengajian tinggi yang berjaya mencapai keunggulan dalam bidang masing-masing.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) universiti, Profesor Dr Norkhalid Salimin berkata, UPSI berjaya dipilih sebagai salah satu pemenang untuk kategori Public Higher Education Institution sekali gus pengiktirafan tinggi berikutan berjaya melahirkan graduan-graduan rebutan industri besar dan terkemuka Malaysia.
“Saya berharap dengan penerimaan anugerah ini, UPSI terus giat menghasilkan graduan yang berkebolehan tinggi dan menguasai kemahiran terkini untuk menjadikan mereka graduan buruan industri di dalam dan luar negara,” katanya.