
STEM VOYAGE bawa pendidikan sains lebih dekat dengan pelajar
Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Universiti Putra Malaysia (UPM) tampil mengorak langkah progresif melalui program pendidikan STEM VOYAGE: Igniting Curiosity, Inspiring Futures yang bukan sahaja menjangkau pelajar kampus, tetapi turut merangkumi kanak-kanak tadika hingga sekolah menengah.
Program yang berlangsung selama tiga hari dan diketuai Timbalan Naib Yang Dipertua (Akademik dan Keusahawanan), MPP, UPM, Easwaran Vasudavan, 22, telah menghimpunkan pelbagai institusi dan organisasi dalam satu misi bersama.
Antara rakan kolaborasi penting termasuk EDSTEM Sdn Bhd; Centre for Research in Biotechnology for Agriculture (CEBAR) Universiti Malaya (UM); FaST LaB Universiti Sains Islam Malaysia (USIM); Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) Universiti Selangor (UNISEL) dan Perpustakaan Sultan Abdul Samad.
Menurut Easwaran selaku Pengarah Program, gabungan itu mencerminkan satu pendekatan holistik terhadap pendidikan STEM dalam membina jambatan antara institusi pengajian tinggi, sektor industri dan masyarakat umum.
"Ini sekali gus menyokong hala tuju strategik UPM seperti yang digariskan dalam Perutusan 100 Hari Naib Canselor dan Amanat 2024 oleh, Datuk Profesor Dr Ahmad Farhan Mohd Sadullah," katanya dalam satu kenyataan media.

Tiga hari penuh dengan pengisian bermakna dan aktiviti interaktif
Penganjur telah menyediakan pelbagai aktiviti menarik sepanjang perlaksanaan STEM VOYAGE: Igniting Curiosity, Inspiring Futures.
Ia dimulakan dengan PUTRA DNA: Memahami Dunia, Nilai dan Aspirasi STEM pada hari pertama di mana beberapa fasilitator muda dan pakar EDSTEM dan CEBAR mendedahkan peserta dengan dunia forensik sains seperti analisis DNA, kromatografi dan teknik penentuan kumpulan darah.
Mereka juga meneroka konsep biodiversiti dan spesies invasif melalui mikroskop dan permainan pembelajaran yang interaktif.
Lebih menarik, modul ini bukan sekadar eksperimen makmal biasa sebaliknya menyuntik elemen nilai, konteks dunia sebenar dan membina kefahaman bahawa sains adalah sebahagian daripada kehidupan harian.
Hari kedua menyaksikan aktiviti PUTRA INSPIRA: Forum Kepimpinan dan Masa Depan STEM yang menghimpunkan ahli akademik dan pemimpin industri STEM.

Bertemakan Why is Interest in STEM Declining? Strategies to Empower Students in Higher Education and Generation Alpha, forum ini membuka wacana mendalam tentang punca penurunan minat terhadap STEM serta strategi membinanya semula.
Antara panel terlibat ialah Qurratu Ain Shafizam (CEO EDSTEM); Ts Dr Sofina Tamam, (USIM) dan Dr Lau Su Ee (CEBAR UM).
Perbincangan dirangka supaya mahasiswa dapat melihat hubungan antara pembelajaran STEM, peluang kerjaya dan tanggungjawab sosial sebagai pencetus kemajuan negara.
Hari terakhir memberi tumpuan kepada murid sekolah rendah dan tadika melalui aktiviti PUTRA AquaQuest: Misi Sains Lautan.
Dalam suasana yang ceria dan penuh rasa ingin tahu, mereka didedahkan kepada konsep-konsep sains marin seperti ketumpatan air, arus laut dan adaptasi biologi.

Eksperimen mudah seperti air masin vs air tawar, pengasidan laut dan simulasi arus lautan berjaya membina pemahaman awal terhadap konsep termodinamik.
Peserta turut berpeluang menghasilkan akuarium mini dan rantai kunci DIY, membangunkan kreativiti dan keyakinan melalui proses saintifik.
STEM untuk semua
Akhir sekali, STEM VOYAGE: Igniting Curiosity, Inspiring Futures berjaya membuktikan bahawa STEM bukan bidang elit atau eksklusif.
Ia untuk semua, bermula daripada tadika hingga mahasiswa dan saintis ke pemimpin komuniti.
Kata Easwaran, kejayaan STEM VOYAGE: Igniting Curiosity, Inspiring Futures bukan sahaja diukur pada bilangan peserta atau aktiviti yang dijalankan, tetapi pada impak sosial dan perubahan paradigma yang berjaya disemai.
" Masa depan negara bergantung kepada keupayaan kita melahirkan saintis, pemikir dan inovator. Semua itu tidak akan tercapai jika pelajar menganggap STEM sebagai sukar dan tidak berkait dengan kehidupan mereka," jelasnya.
