
CEO of Campus Workshop: Bimbing mahasiswa ke dunia start-up & cabaran perniagaan
Konsep perniagaan start-up kini bukan lagi asing dalam kalangan masyarakat khususnya golongan belia yang semakin berminat meneroka dunia keusahawanan digital dan inovasi.
Menyedari potensi besar tersebut, Persatuan Mahasiswa Selangor (PERMAS) Nasional dengan kerjasama Yayasan Selangor telah menganjurkan Bengkel Hub Mahasiswa: CEO of Campus Workshop di Menara Yayasan Selangor baru-baru ini.
Program yang menghimpunkan ratusan mahasiswa dari pelbagai institusi pengajian tinggi (IPT) bertujuan memperkenalkan konsep perniagaan start-up secara lebih menyeluruh di samping membina kefahaman mengenai cabaran sebenar dunia keusahawanan masa kini.
Panel utama bengkel yang juga pengasas Hipster Pomade dan FAS Tools Sdn Bhd, Amir Syakireen Ramli menegaskan bahawa anak muda perlu berani mencuba bidang keusahawanan, namun dalam masa yang sama harus memahami hakikat sebenar dunia perniagaan.
"Keberanian penting, tetapi kefahaman terhadap aliran tunai, persaingan teknologi dan cabaran rantaian bekalan adalah asas utama bagi memastikan kelangsungan sesebuah syarikat.
"Ambillah inspirasi daripada kejayaan Grab dan ZUS Coffee, dua syarikat unicorn tempatan yang membuktikan bahawa jenama Malaysia mampu menembusi pasaran global," katanya ketika berkongsi pengalaman.

Amir Syakireen turut mengingatkan bahawa trend media sosial boleh menjadi pencetus semangat, namun tidak boleh menggantikan nilai pendidikan, pengalaman dan kerja keras dalam membina empayar perniagaan.
"Mahasiswa perlu bersedia menghadapi dunia perniagaan yang dinamik serta hiperkompetitif," ujarnya lagi.
Aktiviti menarik untuk peserta
Para peserta Bengkel Hub Mahasiswa: CEO of Campus Workshop didedahkan dengan pelbagai aktiviti menarik sepanjang program berlangsung.
Antaranya pengenalan dunia start-up, teknik membina syarikat baharu dan pembentukan minda usahawan sejati.
Selain itu, sesi dialog khas bertajuk 'Kepimpinan dalam Pentadbiran' turut disampaikan oleh Ketua Setiausaha Sulit kepada Menteri Besar Selangor merangkap Ketua Sekretariat Pembangunan Mahasiswa Selangor, Mohd Hidayat Mohd Sauffi.
Beliau menekankan bahawa mahasiswa perlu memahami aspek pentadbiran dan peranan kepimpinan sebagai tunjang utama dalam melahirkan generasi pelapis yang mampu memimpin negeri serta negara di masa hadapan.

Sementara itu, wakil PERMAS Nasional berkata, pemilihan panel dibuat berdasarkan latar belakang pendidikan serta pengalaman sebenar dalam dunia perniagaan, agar mahasiswa mendapat inspirasi daripada individu yang pernah melalui jatuh bangun sebenar sebagai usahawan.
"Kami mahu peserta melihat sisi realiti, bukan hanya imej kejayaan di media sosial. Perniagaan sebenar memerlukan ketahanan, strategi dan kesungguhan tinggi untuk berjaya," jelasnya.

Pengarah Pendidikan Yayasan Selangor, Tassim Zainal pula berkata, program seperti Bengkel Hub Mahasiswa: CEO of Campus Workshop menjadi wadah penting dalam usaha melahirkan generasi pelajar yang bersedia memacu masa depan ekonomi negeri dan negara.
"Kita mahu melahirkan mahasiswa yang bukan sekadar berpendidikan tinggi, tetapi juga berdaya saing, inovatif dan mampu menjadi peneraju syarikat masa hadapan," katanya.

Bengkel Hub Mahasiswa: CEO of Campus Workshop diharap dapat membuka minda mahasiswa bahawa membina start-up bukanlah satu jalan pintas, sebaliknya memerlukan pengetahuan, disiplin dan strategi yang mantap.
Dengan pendedahan sebegini, mahasiswa Selangor diyakini lebih bersedia untuk mencipta peluang perniagaan baharu dan menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri serta negara.
Ringkasan AI
- Konsep perniagaan start-up kini menjadi minat utama golongan belia, diakui melalui penganjuran Bengkel Hub Mahasiswa: CEO of Campus oleh PERMAS Nasional dan Yayasan Selangor
- Program tersebut bertujuan memperkenalkan secara mendalam mengenai perniagaan start-up dan cabaran dunia keusahawanan kepada mahasiswa dari pelbagai IPT
- Amir Syakireen Ramli menekankan tentang keberanian dalam berusaha, pentingnya memahami aliran tunai, persaingan teknologi, dan cabaran rantaian bekalan untuk kesinambungan syarikat
- Peserta bengkel didedahkan dengan pelbagai aktiviti seperti teknik membina syarikat baharu dan pembentukan minda usahawan
- Program ini diharapkan dapat melahirkan mahasiswa yang berdaya saing, inovatif dan bersedia memacu ekonomi negeri dan negara melalui pembinaan start-up