Sukarelawan YES PKT bantu lestarikan alam
Kira-kira 40 Sukarelawan YES Politeknik Kuala Terengganu (PKT), Kuala Terengganu, Terengganu turut serta dalam program Lestarikan Bumi Kita yang berlangsung di Taman Negeri Setiu Wetlands, Setiu, Terengganu.
Program yang diadakan sempena Sambutan Hari Bumi Sedunia 2024 Peringkat Negeri Terengganu bertujuan mengajak masyarakat bersama-sama memainkan peranan dalam menghargai bumi.
Difahamkan, sebanyak 105 anak pokok bakau berjaya di tanam di Setiu Wetlands sebagai usaha kelestarian alam sekitar di kawasan tersebut.
Menurut wakil Pengarah Jabatan Alam Sekitar Negeri Terengganu, Amri Mohd Yusof, anak pokok bakau perlu ditanam bermula sekarang demi kelestarian untuk generasi akan datang.
“Ekosistem paya bakau perlu dipelihara kerana ia bertindak menstabilkan muara sungai dan pesisir pantai serta menjadi zon penampan semula jadi.
“Ia bertujuan untuk mengurangkan atau mencegah hakisan pantai oleh ombak, angin dan arus,” kata Amri.
Sementara itu, Sukarelawan YES PKT, Mohd Lutfil Hadi Mohd Saha melahirkan rasa gembira apabila berpeluang menanam anak pokok bakau dalam program tersebut.
Katanya, aktiviti berkenaan telah mendidiknya agar lebih menghargai alam sekitar ini dengan sempurna dan baik.
Terdahulu, program Lestarikan Bumi Kita dianjurkan Jabatan Alam Sekitar Negeri Terengganu dengan kerjasama WWF Malaysia dan Tenaga Nasional Berhad.
Ia bukan sahaja melibatkan penyertaan Sukarelawan YES PKT sebaliknya komuniti setempat dan agensi lain seperti Majlis Pengurusan Taman Negeri Terengganu, Pejabat Daerah Setiu, Angkatan Pertahanan Awam Setiu dan Sahabat Setiu turut menjayakan program bermanfaat itu.
INFO
Sukarelawan YES Politeknik adalah nama yang ditubuhkan Jabatan Pendidikan Politeknik.
YES membawa maksud mereka (pelajar) sentiasa bersedia.
Melalui program sukarelawan, pelajar dapat berfikir secara kreatif untuk membantu masyarakat dan juga menjayakan program-program dianjurkan agensi-agensi kerajaan dan juga badan-badan bukan kerajaan (NGO).