Kerjasama pelajar UiTM Shah Alam dan sukarelawan GPI dalam menyerlahkan keindahan alam sekitar sangat dihargai.
Kerjasama pelajar UiTM Shah Alam dan sukarelawan GPI dalam menyerlahkan keindahan alam sekitar sangat dihargai.

SULAM UiTM bersama GPI bersihkan pantai

09 Jul 2024 11:47am
A
A
A

Bagi menarik minat pelajar sekolah dengan sektor minyak dan gas serta kepentingan penjagaan alam sekitar, pelajar Kolej Kejuruteraan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam telah menjalankan program ‘Green Growth Cultivating Change Through Carbon Programs and Tree Planting’.

Program yang berlangsung selama tiga hari itu, dijayakan dengan kerjasama Sekolah Menengah Sains Dungun (SMSD), Kuala Terengganu dan badan bukan kerajaan Geng Plastik Ija (GPI).

Seramai 19 mahasiswa UiTM dari jurusan Sarjana Muda Kejuruteraan (Kepujian) Minyak dan Gas dari Pengajian Kejuruteraan Kimia telah merangka tujuh slot aktiviti, termasuk aktiviti pemungutan sampah di Pantai Belakang Tanjung Jara, Kampung Kertas Pulas, Dungun, Terengganu.

Ketua GPI Daerah Dungun, Masdi Aminuddin Mohamad berkata program ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan pihak sukarelawan GPI untuk memelihara alam sekitar dan memastikan persekitaran ini kekal hijau serta bersih.

“Kami berbangga dengan sokongan yang diberikan oleh para pelajar UiTM Shah Alam yang turut serta dalam program ini dan cara paling mudah untuk kita menjaga alam sekitar dengan hanya membuang sampah pada tempatnya, bumi kita ini akan terpelihara,” katanya semasa program itu berlangsung.

Untuk makluman, GPI juga bertanggungjawab dalam menyediakan bekalan logistik dan keselamatan sepanjang aktiviti pembersihan pantai tersebut.

Sepanjang program berlangsung, sukarelawan terdiri daripada urusetia pelajar, penasihat program dan beberapa orang sukarelawan dari GPI berjaya mengumpulkan sebanyak 83 kilogram (kg) sampah kebanyakannya terdiri daripada plastik dan bahan-bahan tidak terurai.

Aktiviti ini bukan sahaja membersihkan pantai tetapi juga memberi kesedaran kepada pengunjung tentang kesan negatif pencemaran terhadap ekosistem marin.

Inisiatif ini mendapat pengiktirafan daripada penduduk setempat yang berharap agar lebih banyak program kesedaran alam sekitar dianjurkan untuk memastikan pantai-pantai di Terengganu kekal bersih dan indah.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok