Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Dr Shahrin Sahib Shahrin (empat dari kanan) bersama Penolong Naib Canselor Pejabat Komunikasi Strategik, Profesor Dr Ismie Roha Mohamed Jais (tiga dari kiri) dan staf Unit Media kreatif selepas menerima Anugerah Pencipta Perak daripada YouTube.
Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Dr Shahrin Sahib Shahrin (empat dari kanan) bersama Penolong Naib Canselor Pejabat Komunikasi Strategik, Profesor Dr Ismie Roha Mohamed Jais (tiga dari kiri) dan staf Unit Media kreatif selepas menerima Anugerah Pencipta Perak daripada YouTube.

Tahniah UiTM, muncul IPT pertama terima Anugerah Pencipta Perak daripada YouTube

ROSHLAWATY MD RAIEHROSHLAWATY MD RAIEH
26 Dec 2024 10:43am

Universiti Teknologi Mara (UiTM) mencatat sejarah sebagai institusi pengajian tinggi (IPT) pertama di Malaysia yang menerima Anugerah Pencipta Perak daripada YouTube.

Menurut kenyataan media UiTM, pengiktirafan itu diterima selepas saluran rasmi universiti, UiTM Channel, berjaya melepasi 100,000 langganan pada pertengahan September 2024.

"UiTM Channel yang mula beroperasi pada 1 April 2013 kini mempunyai lebih 21 juta tontonan dan lebih 1,900 penerbitan video.

"Saluran ini bukan hanya menyampaikan maklumat berbentuk video kepada komuniti universiti dan masyarakat awam tetapi turut menjadi platform penstriman langsung yang mendapat tontonan tinggi termasuk semasa Istiadat Konvokesyen UiTM," maklumnya.

Tambah kenyataan itu, saluran UiTM Channel diuruskan pasukan daripada Bahagian Pengurusan Jenama dan Media Kreatif, Pejabat Komunikasi Strategik UiTM sekali gus membuktikan usaha strategik universiti dalam memanfaatkan media digital.

"Selain meningkatkan keterlihatan universiti, UiTM Channel mula menjana pendapatan sejak awal tahun 2020.

"Pendapatan ini membuka peluang kepada universiti untuk terus memperluaskan kandungan kreatif dan inovatif yang memberi manfaat kepada pelbagai pihak," ujarnya.

Selain di YouTube, UiTM juga mencatat pencapaian serupa melalui platform media sosial TikTok yang kini mempunyai lebih 100,000 pengikut.

Artikel Berkaitan:

Malah, kedua-dua saluran YouTube dan TikTok rasmi UiTM telah menerima verifikasi rasmi daripada platform masing-masing dan mengukuhkan kredibiliti jenama universiti di dunia digital.

Sementara itu, UiTM Channel menjadi IPT pertama yang memperkenalkan platform e-dagang melalui TikTok.

Inisiatif ini mempromosikan dan menjual produk universiti kepada umum termasuk produk ikonik seperti Beg Kuning UiTM sekali gus menampilkan inovasi universiti dalam meneroka peluang ekonomi digital.

"Kami berbangga dengan pencapaian ini yang mencerminkan visi universiti untuk terus berada di barisan hadapan dalam inovasi dan transformasi digital.

"Dengan sokongan pelbagai pihak, UiTM Channel dijangka akan terus berkembang sebagai platform utama untuk menyampaikan kandungan kreatif dan berimpak tinggi.

"Pencapaian ini bukan sekadar pengiktirafan tetapi juga lambang komitmen UiTM dalam memperkasa komuniti universiti dan masyarakat melalui inovasi teknologi serta media digital," jelasnya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp