Tamhidi USIM bawa pulang 19 pingat menerusi PIITRAM 2023

ROSHLAWATY MD RAIEH
23 Feb 2023 04:12pm
A
A
A

Menang besar! Itulah kata-kata yang layak diberikan kepada Pusat Tamhidi (Asasi) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) apabila membawa pulang 19 pingat dalam Pertandingan Inovasi Inter Asasi Matrikulasi (PIITRAM) 2023 baru-baru ini.

Kesemua pingat yang diraih menerusi PIITRAM 2023 itu terdiri daripada tiga emas, sembilan perak dan tujuh gangsa.

Menurut Dekannya, Profesor Madya ChM Dr Juliana Jumal, sembilan inovasi dipertandingkan adalah hasil ciptaan mahasiswa yang mendapat bimbingan pensyarah dan guru selaku mentor manakala 10 inovasi lagi dihasilkan oleh kakitangan akademik dan pentadbiran.

Berkongsi senarai inovasi yang meraih pingat, Juliana berkata, ciptaan Smart Aromatic Nebulizer (SANe); Physics for Prosumers: The Case of Matrix Optics for Optical Systems dan Tamhidi Timetable System (TTeasy) membawa tuah apabila muncul sebagai penerima pingat emas.

“Yang paling membanggakan apabila TTeasy turut dinobatkan penerima Anugerah Khas Pembentangan Terbaik Kesel Turut Uruhan (Maya),” ujarnya gembira.

PIITRAM 2023 merupakan salah satu platform inovasi terbaik di mana ia membangunkan dan menonjolkan bakat ahli akademik asasi dan matrikulasi serta mahasiswa dalam bidang pengajaran dan pembelajaran (PdP) berkonsepkan Pengajian Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Kesenian dan Matematik (STEAM).

Selaras dengan transformasi pendidikan negara yang kini memfokuskan kepada kepentingan pendidikan STEAM dalam melahirkan modal insan berkemahiran tinggi dan inovatif, PIITRAM 2023 menawarkan platform kepada pendidik, inovator dan mahasiswa untuk menyalurkan idea baharu berkaitan STEAM serta meningkatkan lagi kreativiti inovasi mereka ke peringkat seterusnya.

Dalam pada itu, barisan pemenang PIITRAM 2023 telah diraikan dalam majlis makan malam yang berlangsung di Dewan Bankuet Universiti Putra Malaysia (UPM).

Artikel Berkaitan:

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPM, Profesor Dr Arifin Abdu diberi penghormatan untuk menyampaikan pingat dan anugerah kepada pemenang.

Hadir sama pada majlis gilang gemilang tersebut ialah Pengerusi Majlis Dekan merangkap Pengarah Asasi Universiti Awam, Profesor Madya Dr Laili Che Ros dan Pengarah Pusat Asasi Sains Pertanian UPM, Profesor Madya Dr Marina Mohd Top @ Mohd Tah.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok