IPG Kampus Gaya yang terjejas melibatkan kawasan rumah pam air, laluan jalan ke blok akademik, struktur bangunan blok akademik C dan D serta bahagian belakang blok E.
IPG Kampus Gaya yang terjejas melibatkan kawasan rumah pam air, laluan jalan ke blok akademik, struktur bangunan blok akademik C dan D serta bahagian belakang blok E.

Tanah runtuh: Penuntut IPG Kampus Gaya jalani kuliah secara 'online'

27 Sep 2025 01:55pm

Penuntut di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Gaya, Sabah yang terjejas akibat kejadian tanah runtuh kini mengikuti kuliah secara dalam talian berikutan kerosakan bangunan dalam insiden tersebut.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, semua penuntut telah dihubungi untuk dimaklumkan mengenai situasi sebenar di kampus serta keperluan mengadakan kuliah secara dalam talian susulan keadaan kecemasan itu.

"Pelajar kini sedang mengikuti kuliah secara dalam talian. Bagi penyelesaian jangka pendek, pihak Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) akan melakukan penyewaan premis dewan kuliah di kawasan berdekatan.

"Beberapa premis bangunan telah dikenal pasti untuk disewa bagi menggantikan kelas atau bilik kuliah di blok yang terkesan," katanya dalam kenyataan yang disampaikan Pengarah Pendidikan Negeri Sabah, Datuk Raisin Saidin, di Wisma Pendidikan pada Jumaat.

Fadhlina turut memaklumkan IPG Kampus Gaya yang terjejas melibatkan kawasan rumah pam air, laluan jalan ke blok akademik, struktur bangunan blok akademik C dan D serta bahagian belakang blok E.

"Bagi rumah pam air, Jabatan Air akan menanggung semua kos pembaikan. Bangunan terjejas lain tidak lagi digunakan.

"Antara langkah yang diambil bagi menangani isu berbangkit di IPG Kampus Gaya adalah dengan mempercepatkan kerja perlindungan cerun.

"Kementerian Pendidikan Malaysia juga akan mengemukakan cadangan permohonan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) untuk membina bangunan blok asrama baharu di kawasan padang rata di IPG berkenaan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Fadhlina memaklumkan lawatan kerjanya selama dua hari di Sabah bertujuan meninjau sendiri situasi di beberapa institusi KPM yang dilanda banjir.

"Ini termasuk Sekolah Kebangsaan (SK) Lago, SK Kampung Brunei dan SK Pengiran Jaya yang kerap dilanda banjir. Saya turut mengadakan lawatan ke Sekolah Menengah (SM) St Michael dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Limbanak di Penampang.

"Secara keseluruhan, sebanyak 78 buah (termasuk terputus laluan) institusi pendidikan di negeri Sabah terkesan banjir. Ini melibatkan 68 sekolah rendah dan 10 sekolah menengah," katanya.

Menurutnya, kerja-kerja pembersihan pasca banjir sedang berjalan atau telah selesai dilaksanakan dengan turut dibantu sukarelawan IPGM.

"Sekitar 50 peratus sekolah terjejas telah siap dibersihkan. Nilai keseluruhan kerosakan sedang diperhalusi dan baik pulih akan segera dilaksanakan bagi memastikan akses pendidikan terbaik dan pengoperasian pendidikan yang lancar," katanya.

Beliau turut memaklumkan Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) telah memberi bantuan berbentuk wang kepada 50 sekolah yang terjejas banjir pada Khamis.

"Bantuan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAMP) kecemasan sebanyak RM300 setiap murid diberikan kepada murid yang layak manakala insurans takaful telah diberikan kepada mangsa yang meninggal dunia akibat tanah runtuh dan Yayasan Didik Negara (YDN) menyumbang kelengkapan sekolah kepada sekolah-sekolah terkesan banjir," jelasnya.

 

 

Ringkasan AI

  • Penuntut IPG Kampus Gaya mengikuti kuliah dalam talian akibat kejadian tanah runtuh
  • Semua penuntut dihubungi untuk kuliah dalam talian, penyewaan premis dewan kuliah di kawasan berdekatan sebagai penyelesaian jangka pendek
  • Kawasan yang terjejas merangkumi rumah pam air, laluan jalan, dan struktur bangunan akademik
  • Jabatan Air menanggung kos pembaikan rumah pam, langkah dipercepat untuk perlindungan cerun
  • Lawatan kerja Menteri Pendidikan di Sabah melibatkan peninjauan institusi terjejas banjir, dengan 78 institusi pendidikan di Sabah terkesan
Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp