Petugas media berpeluang mengikuti lawatan ke makmal di Taylor's University, Selangor.
Petugas media berpeluang mengikuti lawatan ke makmal di Taylor's University, Selangor.

Tanggungjawab IPT wujud program baharu

Dalam melahirkan modal insan kompeten lagi inovatif

QURRATUL AINA QUDDUSQURRATUL AINA QUDDUS
27 Jan 2025 08:00am

Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di negara ini sepatutnya terus proaktif memperkenalkan program baharu yang relevan dengan keperluan semasa dan masa hadapan.

Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Profesor Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran berkata, institusi itu perlu berperanan sebagai pemacu perubahan dengan melahirkan modal insan yang kompeten dan inovatif.

Menurutnya, institusi pengajian tinggi awam (IPTA) atau swasta boleh menerokai program baharu yang sebilangan persamaannya boleh dilihat apabila berlaku aktiviti penanda aras akademik antara organisasi berkenaan.

“Pada umumnya, penilaian adalah berdasarkan ketetapan Kod Amalan Akreditasi dan lain-lain panduan diterbitkan MQA sendiri.

“Bagi program baharu ini, ia telah melalui proses dan mendapat akreditasi sementara pada tahun lalu.

“Pakar penilai MQA telah mengesyorkan beberapa penambahbaikan yang perlu dilaksanakan oleh IPT,” katanya secara eksklusif kepada Sinar Bestari baru-baru ini.

Mohammad Shatar
Mohammad Shatar

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Taylor's University melakar sejarah baharu dalam dunia pendidikan apabila secara rasmi melancarkan program Ijazah Sarjana Muda Sains Kesihatan Gunaan (Kepujian).

Ia bagi memenuhi peningkatan permintaan terhadap profesional berkemahiran.

Mengambil pendekatan yang lebih holistik, program itu menawarkan empat bidang pengkhususan utama yang memberi peluang kepada mahasiswa untuk mendalami dan meneroka pelbagai cabang ilmu.

Keempat-empat pengkhususan itu adalah genetik, embriologi, neurosains dan pemakanan.

Bagi pengajian genetik, bidang itu memfokuskan pemahaman asas genetik penyakit dan kemajuan dalam teknologi, manakala untuk embriologi pula mendalami perkembangan embrionik serta teknologi reproduksi canggih.

Sau Har
Sau Har

Teroka kerjaya

Pengarah Program Ijazah Sarjana Muda Sains Kesihatan Gunaan (Kepujian), Dr Lee Sau Har berkata, pelajar akan memperoleh pengalaman praktikal melalui kerja makmal, projek penyelidikan dan tugasan.

Menurutnya, kerjasama dengan rakan industri dan pusat penyelidikan memastikan mereka membangunkan kemahiran praktikal yang diperlukan untuk memenuhi keperluan industri.

“Graduan juga boleh meneroka pelbagai kerjaya seperti ahli genetik, pakar IVF, penyelidik, saintis sistem saraf dan ahli epidemiologi makanan.

“Pembelajaran antara disiplin program ini memastikan mereka bersedia untuk kerjaya dalam kedua-dua akademia serta sektor kesihatan,” katanya.

Walau bagaimanapun, program berkenaan menekankan kebolehsuaian dan inovasi dengan mengintegrasikan trend terkini dalam sains kesihatan.

Sebagai contoh, kurikulum Ijazah Sarjana Muda (kepujian) Sains Kesihatan Gunaan merangkumi pengajian Asid Deoksiribonukleik (DNA) dan genetik melalui modul lanjutan dalam biologi molekul, bioinformatik serta perubatan yang diperibadikan.

Pembelajaran berasaskan penyelidikan memastikan pelajar sentiasa berada di hadapan dalam kemajuan saintifik dan dilengkapi untuk menangani keperluan penjagaan kesihatan yang berkembang.

5 universiti awam menawarkan bidang Sains Kesihatan/Gunaan

1. Universiti Malaya (UM)

- Sarjana Muda Sains Bioperubatan (Fakulti Perubatan)

- Sarjana Muda Sains Mikrobiologi dan Genetik Molekul (Fakulti Sains)

- Sarjana Muda Sains Geologi Gunaan (Fakulti Sains)

2. Universiti Malaysia Kelantan (UMK)

- Ijazah Sarjana Muda Sains Gunaan (Geosains) dengan Kepujian (Fakulti Sains Bumi)

3. Universiti Teknologi Mara (UiTM)

- Sarjana Muda Dietetik (Fakulti Sains Kesihatan)

- Sarjana Muda Sains dan Teknologi Makanan dengan kepujian (Fakulti Sains Gunaan)

4. Universiti Sains Malaysia (USM)

- Sarjana Muda Dietetik dengan Kepujian (Pusat Pengajian Sains Kesihatan)

- Sarjana Muda Pemakanan dengan Kepujian (Pusat Pengajian Sains Kesihatan)

5. Universiti Putra Malaysia (UPM)

- Bacelor Sains Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan dengan Kepujian (Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan)

- Bacelor Sains Dietetik dengan kepujian (Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan)

- Bacelor Sains Pemakanan dan Kesihatan Komuniti dengan Kepujian (Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan)

- Master Sains Pemakanan (Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan)

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp