Pensyarah perlu tonjol kepakaran diri demi mantapkan reputasi universiti
Pensyarah di Universiti Utara Malaysia (UUM) perlu menonjolkan diri dengan membina kredibiliti dan imej yang kukuh untuk memberi impak positif kepada pelajar dan institusi.
Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Profesor Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran berkata, perkara itu (menonjolkan diri) juga adalah untuk memperkukuhkan reputasi universiti di peringkat nasional dan global.
Menurutnya, nama universiti tidak akan melonjak tanpa sokongan para pensyarah.
"Ini kerana, kehebatan sesebuah institusi pengajian tinggi selalunya diukur melalui keupayaan dan kebolehan pensyarah dalam menterjemahkan kecemerlangan akademik," katanya dalam sesi khas bersama 180 pensyarah muda dan Profesor Madya di Dewan Seminar, Pusat Konvensyen UUM baru-baru ini.
Program anjuran Bahagian Pembangunan Sumber Manusia, Jabatan Sumber Manusia diadakan sempena kunjungan hormat Mohammad Shatar ke universiti itu untuk bertemu Naib Canselor UUM, Profesor Datuk Dr Mohd Foad Sakdan sekali gus mengadakan sesi dialog bersama dekan dan ketua-ketua jabatan.
Hadir sama Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), UUM, Profesor Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani dan Pengarah Pusat Perancangan Dasar dan Kecemerlangan Akademik, Profesor Madya Dr Mohd Zailani Mohd Yusof.
Dalam pasaran global yang semakin sengit, Mohammad Shatar berkata, golongan pensyarah perlu menonjolkan kepakaran masing-masing agar dapat membawa nama universiti ke tahap lebih tinggi.
"Formula ini sangat strategik dalam meningkatkan kualiti akademik universiti dan usaha perlu dilakukan dengan memperbaiki pendekatan dalam pengajaran dan pembelajaran serta mengambil peranan aktif dalam mempromosikan kehebatan program akademik yang diiktiraf MQA.
"Sokongan MQA amat penting untuk memastikan semua program akademik memenuhi piawaian kualiti dan diiktiraf.
"Oleh itu, pensyarah perlu bekerja secara sinergi untuk menghasilkan program relevan dan berimpak tinggi," jelasnya.