Welding Simulator Machine ialah alat moden VR yang direka khas untuk melatih pelajar dalam kemahiran kimpalan tanpa perlu menggunakan api, logam sebenar atau gas.
Welding Simulator Machine ialah alat moden VR yang direka khas untuk melatih pelajar dalam kemahiran kimpalan tanpa perlu menggunakan api, logam sebenar atau gas.

Teknologi 'Welding Simulator Machine' bantu pelajar kuasai kemahiran kimpalan tanpa risiko

06 Aug 2025 11:21am

Ramai pelajar sebenarnya menyimpan minat mendalam terhadap bidang kimpalan.

Bagi mereka, bidang itu bukan sahaja relevan, malah sangat diperlukan dalam pelbagai sektor seperti pembinaan, automotif, industri berat dan pembuatan moden.

Namun begitu, apabila mengetahui bahawa kimpalan adalah satu kemahiran yang mencabar dan memerlukan kemahiran teknikal yang tinggi, ramai yang akhirnya memendam hasrat itu begitu sahaja.

Baru-baru ini, TVET MARA telah memuat naik hantaran ilmiah di Facebook mengenai kehadiran teknologi baharu, Welding Simulator Machine yang semakin mendapat tempat di institusi latihan kemahiran.

Kongsi mereka, Welding Simulator Machine atau mesin simulasi kimpalan ialah alat moden Teknologi Realiti Maya (VR) yang direka khas untuk melatih pelajar dalam kemahiran kimpalan tanpa perlu menggunakan api, logam sebenar atau gas.

Menerusinya, para pelajar dapat menimba pengalaman latihan yang realistik, selamat dan interaktif.

Mesin yang kini dijadikan peralatan pembelajaran di Institut Kemahiran MARA Kuala Lumpur mempunyai pelbagai kelebihan dan antaranya adalah: 

1) Selamat dan mesra pengguna

Artikel Berkaitan:

Tiada api, percikan atau asap berbahaya. Pelajar boleh belajar dalam persekitaran yang selamat dan bebas risiko kecederaan.

2) Jimat kos latihan

Tiada keperluan beli bahan habis seperti elektrod, gas atau logam. Sekolah dan pusat latihan dapat kurangkan perbelanjaan dengan ketara.

3) Latihan lebih efektif

Simulator memberi maklum balas serta-merta tentang teknik kimpalan pelajar termasuk sudut, kelajuan dan ketepatan. Ini membantu pelajar cepat perbaiki kemahiran.

4) Mesra alam

Kurang pembaziran bahan dan tidak mencemarkan udara. Sesuai untuk amalan pembelajaran hijau.

5) Boleh ulang latihan sebanyak mana diperlukan

Pelajar boleh berlatih tanpa had hingga mahir, tanpa risaukan kos atau bahan rosak.

Kesimpulannya, apa jua bidang yang diceburi pastinya mempunyai cabaran tersendiri.

Sama ada dalam bidang akademik, sukan, seni, teknologi mahupun kemahiran seperti kimpalan, yang paling penting di sini adalah keberanian untuk mencuba dan kekuatan untuk terus bertahan.

Sinar Bestari sentiasa mendoakan yang terbaik buat semua pelajar. Teruskan melangkah, teruskan bercita-cita besar!

 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp