Nota Interaktif Matematik dirujuk berdasarkan DSKP untuk Tahap Dua dan DPK untuk Tahap Satu.
Nota Interaktif Matematik dirujuk berdasarkan DSKP untuk Tahap Dua dan DPK untuk Tahap Satu.

SK Rumbia bantu murid kuasai asas pengiraan menerusi Nota Interaktif Matematik

ROSHLAWATY MD RAIEHROSHLAWATY MD RAIEH
14 Jul 2025 02:24pm

Inisiatif inovatif dari Panitia Matematik Sekolah Kebangsaan (SK) Rumbia, Alor Gajah, Melaka berjaya membuka peluang pembelajaran yang lebih mesra, mudah difahami dan menyeronokkan buat murid-murid yang berdepan kesukaran memahami konsep asas dalam Matematik.

Melalui penghasilan Nota Interaktif Matematik, mereka telah melaksanakan Program Intervensi Matematik terutamanya untuk murid Tahun Tiga dan Tahun Empat yang memerlukan lebih bimbingan dan penjelasan secara berperingkat.

Usaha ini diketuai oleh Ketua Panitia Matematik, Mohd Yusazli Md Yusof dan mendapat sokongan penuh daripada Guru Besar, Haniza Mohd Hanif.

Menurut Cikgu Mohd Yusazli, nota itu bukan sekadar bahan bantu belajar biasa.

Sebaliknya, ia disusun dengan cara interaktif, berwarna dan bersifat panduan langkah demi langkah yang memudahkan murid memahami kaedah pengiraan dan penyelesaian masalah secara tersusun.

Cikgu Mohd Yusazli (gambar kecil) kini berkhidmat di SK Rumbia sebagai Ketua Panitia Matematik.
Cikgu Mohd Yusazli (gambar kecil) kini berkhidmat di SK Rumbia sebagai Ketua Panitia Matematik.

"Nota ini memberi fokus kepada murid yang sukar memahami pelajaran Matematik di dalam kelas.

Artikel Berkaitan:

"Dalam masa sama, ia turut menjadi panduan mudah kepada ibu bapa yang ingin membantu anak-anak di rumah, terutamanya mereka yang berkemampuan dari segi masa dan kefahaman asas.

"Apa yang membezakan nota ini ialah ia tidak menggalakkan hafalan semata-mata, sebaliknya murid dibimbing untuk memahami setiap langkah dalam menyelesaikan masalah Matematik," katanya kepada Sinar Bestari.

Tambah Cikgu Mohd Yusazli, nota interaktif ini dirujuk berdasarkan Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) untuk Tahap Dua dan Dokumen Penjajaran Kurikulum (DPK) untuk Tahap Satu.

"Ia disampaikan dalam bentuk fail PDF melalui aplikasi Whatsapp kelas, menjadikannya mudah diakses oleh ibu bapa dan murid.

No Image Caption

"Murid juga boleh mencetak nota tersebut untuk dijadikan buku skrap atau ditampal di dinding bilik sebagai rujukan harian," ujarnya lagi.

Sementara itu, Cikgu Mohd Yusazli berkata, Nota Interaktif Matematik sangat menarik kerana ia telah dirujuk terlebih dahulu kepada School Improvement Specialist Coach Plus (SISC+) di peringkat Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Alor Gajah, sebagai satu bentuk amalan terbaik yang boleh diteladani.

"Ia juga telah dikongsi bersama beberapa sekolah lain sebagai satu inisiatif bermanfaat untuk murid sederhana dan lemah.

"Ini sekali gus menjadikannya contoh pendekatan berkesan dalam kalangan guru-guru Matematik.

"Melalui nota ini, murid tidak hanya membaca tetapi juga ‘berinteraksi’ dengan bahan yang disediakan. Warna, susunan langkah dan pendekatan visual menjadikan pembelajaran lebih menarik dan mudah difahami," tambahnya.

No Image Caption

Akhir sekali, beliau mengharapkan agar usaha ini dapat diperluas ke lebih banyak sekolah dan terus memperkasa guru, ibu bapa dan murid dalam usaha memperkukuh asas pendidikan Matematik di peringkat awal.

 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp