Tuanku Syed Faizudin (dua dari kiri) turut menzahirkan keyakinan kerjasama berkenaan akan memperkukuh ukhuwah ilmu dan menjadi jambatan untuk mengangkat martabat ummah di rantau ASEAN.
Tuanku Syed Faizudin (dua dari kiri) turut menzahirkan keyakinan kerjasama berkenaan akan memperkukuh ukhuwah ilmu dan menjadi jambatan untuk mengangkat martabat ummah di rantau ASEAN.

Tenaga pengajar Universitas Muhammadiyah dipelawa sambung pengajian di UniMAP

14 Sep 2025 12:16am

Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) mempelawa tenaga pengajar khususnya rangkaian Universitas Muhammadiyah (UM) di Indonesia untuk melanjutkan pengajian di peringkat sarjana dan doktor falsafah (PhD).

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UniMAP, Profesor Mohd Shukry Abdul Majid berkata, pihak universiti turut menawarkan pengurangan yuran kepada dosen atau tenaga pengajar yang mendaftar secara berkumpulan.

"Sebagai contoh, jika 20 orang dosen mendaftar, UniMAP akan memberikan pengurangan yuran sebanyak 20 peratus. Jika jumlahnya ramai, kadar diskaun yang lebih tinggi akan dipertimbangkan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri sesi diskusi bagi membincangkan peluang kerjasama antara UniMAP dan UM Bandung sempena Mobiliti Kepimpinan Antarabangsa UniMAP 2025. 

Dalam lawatan itu, Mohd Shukry bersama Rektor UM Bandung, Profesor Dr Ir Herry Suhardiyanto turut menyempurnakan pertukaran surat niat yang disaksikan oleh Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Tuanku Canselor UniMAP.

Turut berangkat Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil yang juga Tuanku Pro Canselor UniMAP.

Mohd Shukry berkata, selain tenaga pengajar daripada 170 rangkaian UM di seluruh Indonesia, alumni universiti berkenaan turut dipelawa menyambung pengajian di UniMAP dalam pelbagai bidang.

"Kolaborasi ini bukan sahaja membolehkan dosen memperoleh ijazah sarjana atau PhD, malah menghasilkan penerbitan akademik bersama antara UM dan UniMAP," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Tuanku Syed Faizuddin bertitah arah tuju UM selari dengan aspirasi UniMAP yang berhasrat melahirkan graduan seimbang dari segi ilmu, kemahiran dan sahsiah, berteraskan nilai integriti serta kepimpinan.

"Beta berharap lawatan ini membuka lebih banyak ruang kerjasama akademik antara UniMAP dan UM Bandung khususnya dalam pertukaran pelajar dan pensyarah, penyelidikan bersama dalam pembangunan masyarakat, teknologi serta inovasi, program latihan kepimpinan pelajar berteraskan nilai Islam dan kemanusiaan serta usaha pemerkasaan sosial yang memberi manfaat kepada komuniti di kedua-dua negara," titah baginda.

Tuanku Syed Faizudin turut menzahirkan keyakinan kerjasama berkenaan akan memperkukuh ukhuwah ilmu dan menjadi jambatan untuk mengangkat martabat ummah di rantau ASEAN.

Sementara itu, Herry Suhardiyanto berkata, pihaknya amat berbesar hati menerima keberangkatan Tuanku Canselor serta delegasi baginda ke UM Bandung. 

"Ini satu penghormatan sangat besar buat kami dan kami bersedia mengenal pasti dosen yang perlu meningkatkan tahap kelayakan akademik mereka bagi memperkukuh keupayaan sedia ada," katanya. - Bernama

 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp