Terbaik! UniSZA masih kekalkan menu RM3.50
Sejak beberapa hari lalu, Menu Rahmah menjadi trending (sohor kini) berikutan harga yang dikenakan kepada para pelanggan agak murah.
Menu yang semakin popular itu dijangka akan memasuki institut pengajian tinggi awam (IPTA) selepas perayaan Aidilftri dalam memberi pilihan kepada para mahasiswa menikmati hidangan berkualiti pada harga mampu milik.
Ia juga merupakan antara usaha dalam membantu dan mengurangkan beban perbelanjaan mahasiswa-mahasiwa golongan berpendapatan rendah (B40).
Menariknya, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) menawarkan menu makanan berkualiti pada harga siling RM3.50 setiap hidangan.
Naib Canselornya, Profesor Dr Fadzli Adam berkata, usaha itu sebagai sokongan kepada cadangan kerajaan untuk memperkenalkan Menu Rahmah di IPTA.
“Pada dasarnya, pengenalan menu harga murah berkenaan dilaksanakan sejak tahun lalu malah ia memberi banyak manfaat kepada mahasiswa-mahasiswa terutama daripada golongan B40.
“Selain itu, menu berkenaan juga boleh dinikmati warga kerja UniSZA untuk memberi pilihan kepada mereka. Kita akan terus menambah baik kualiti dan kepelbagaian menu,” katanya selepas Majlis Penyerahan Dermasiswa Maybank-UniSZA kepada 25 pelajar tahun pertama terpilih daripada golongan keluarga B40 di Kampus Gong Badak, Kuala Nerus, Terengganu baru-baru ini.
Penuntut ijazah sarjana muda Bahasa Inggeris dan Komunikasi UniSZA, Amni Syafiqa Ali, 24, berkata, penyediaan menu yang ditawarkan pada harga RM3.50 banyak membantu mahasiswa kerana mampu menjimatkan perbelanjaan harian.
“Melalui pengenalan menu tersebut, ia didatangkan bersama nasi, ayam, kuah dan segelas air sirap. Murah dan berbaloi, saya biasa membeli nasi lauk ayam goreng crispy dan kuah tomyam tetapi menu ini cepat habis kerana mendapat permintaan tinggi.
“Saya berharap pengurusan universiti dapat mengekalkan inisiatif ini kerana keprihatinan tersebut sangat bermanfaat kepada para mahasiswa terutama golongan B40,” katanya.