Mohd Azizudin berucap di International Case Study Congress (ICSC) 2024.
Mohd Azizudin berucap di International Case Study Congress (ICSC) 2024.

Teroka potensi teknologi AI, tingkatkan kualiti pendidikan

28 Aug 2024 03:06pm

Kecerdasan Buatan (AI) sudah tidak asing lagi dalam kehidupan kita, malah berkembang pesat di seluruh dunia yang memberi transformasi kepada industri, ekonomi, politik dan sosial.

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, negara juga tidak ketinggalan dan bersedia memperkasakan teknologi AI.

“Pemerkasaan ini boleh dilihat melalui penubuhan Fakulti Kecerdasan Buatan (AI) di Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

“AI turut diajar dalam beberapa subjek terutamanya Matematik, Sains dan Undang-undang, justeru seiring dengan perkembangan teknologi yang harus didalami oleh semua pensyarah,” katanya.

AI adalah keupayaan komputer dan mesin untuk menyelesaikan serta memudahkan tugas yang biasa dilakukan oleh manusia.

Beliau berkata, Malaysia sentiasa menyokong penggunaan AI yang semakin meluas misalnya melalui ‘AI Untuk Rakyat’ di mana ia merupakan program pembelajaran kendiri dalam talian, direka untuk meningkatkan pemahaman orang ramai tentangnya.

“UUM juga sedang berusaha ke arah visi untuk menjadi Kampus Pintar menjelang tahun 2026.

“Revolusi Perindustrian ke-5 (IR 5.0) menyerlahkan integrasi manusia dengan teknologi termaju seperti AI, data besar, pengkomputeran awan, keselamatan siber dan Internet of Things (IoT),” tambah beliau.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, UUM telah mula memasukkan AI ke dalam penulisan kes, beralih daripada kajian berasaskan teks tradisional kepada format video dinamik.

“Inovasi ini bukan sahaja memperkayakan pengalaman pembelajaran tetapi juga sejajar dengan matlamat kami yang lebih luas untuk menerima kemajuan teknologi dalam pendidikan,” katanya ketika merasmikan International Case Study Congress (ICSC) 2024 anjuran Pusat Kajian Kes Pengurusan dan Kepimpinan (PKKPK-UUM) di Hotel Raia.

Pada majlis sama, Pengarah Urusan Epic Valley Holdings Sdn Bhd, Profesor Dr Fng Ah Seng menyampaikan ucaptama bertajuk ‘Disruptive Innovation in Leadership’, seterusnya Pengarah Centre for Management Practice Singapore Management University, Dr Havovi Joshi bertajuk ‘Role of AI in Case Studies’.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp