Peranan ahli akademik dalam pembangunan ekonomi penting kerana mereka menyumbang pengetahuan, analisis, advokasi dasar dan inovasi. Gambar kecil: Nor Aziza.
Peranan ahli akademik dalam pembangunan ekonomi penting kerana mereka menyumbang pengetahuan, analisis, advokasi dasar dan inovasi. Gambar kecil: Nor Aziza.

Kelestarian Ekonomi: Peranan ahli akademik ke arah ekonomi mampan

DR NOR AZIZA ABDUL AZIZ
24 Jan 2024 10:15am
A
A
A

Kerajaan Malaysia Madani terus mengorak langkah bagi memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan dalam mengurus risiko inflasi bagi keseimbangan dan pembangunan ekonomi, kelestarian alam sekitar dan kebajikan rakyat.

Pendekatan holistik yang diaspirasi agar kemakmuran dinikmati oleh generasi kini malah boleh diwarisi oleh generasi akan datang.

Memandangkan jangkaan pembangunan ekonomi Malaysia yang memberi tanda positif, kerajaan memerlukan penganalisis ekonomi terutama dalam kalangan ahli akademik kerana keupayaan mereka untuk menyumbang kepada penggubalan dasar yang berkesan serta menjelaskan fenomena ekonomi.

Secara keseluruhannya, peranan ahli akademik dalam pembangunan ekonomi adalah sangat penting kerana mereka menyumbang pengetahuan, analisis, advokasi dasar dan inovasi yang diperlukan untuk memacu pertumbuhan ekonomi yang mampan dan menyelesaikan masalah yang dihadapi masyarakat.

Ahli akademik sering menjadi sumber nasihat kepada kerajaan, organisasi antarabangsa dan sektor swasta.

Mereka memberikan nasihat berdasarkan penyelidikan dan analisis mereka tentang dasar ekonomi, pembaharuan dan pembangunan khusus sektor.

Ahli akademik juga boleh memainkan peranan dalam membentuk pendapat umum dan mempengaruhi pembuat dasar melalui advokasi dan analisis dasar berasaskan bukti.

Dalam usaha meningkatkan pertumbuhan dan perkembangan ekonomi negara, kerajaan boleh menjalankan pelbagai tindakan dan dasar untuk kestabilan dan kesejahteraan rakyat

Artikel Berkaitan:

Mengekalkan kestabilan kewangan

Ahli akademik memainkan peranan penting dalam membentuk landskap kewangan yang stabil melalui penyelidikan, pendidikan dan menyumbang idea kepada prinsip dan amalan kewangan.

Seterusnya ahli akademik boleh membuat keputusan kewangan untuk memastikan pandangan yang komprehensif dan berpengetahuan dalam menyediakan pendidikan dan latihan kepada pelajar dalam bidang ekonomi dan kewangan.

Penyampaian pengetahuan kewangan kepada pelajar melibatkan penyampaian pengetahuan, kemahiran dan pemahaman asas tentang konsep kewangan yang berkaitan termasuk jurubank, ahli ekonomi dan penganalisis kewangan.

Pendidikan berkualiti boleh membentuk pemikiran kritis dan pemahaman yang mendalam tentang kestabilan kewangan.

Justeru, dalam mengekalkan kestabilan kewangan negara kerajaan harus menggalakkan dasar dan inisiatif yang merangsang pelaburan, inovasi dan pembangunan sektor ekonomi yang berpotensi menjana pendapatan dan pekerjaan.

Dalam usaha tersebut, kerajaan harus memastikan kestabilan sistem kewangan negara dengan mengguna pakai dasar yang menggalakkan ketelusan, pengawasan yang berkesan dan pengurusan risiko yang kukuh dalam sektor kewangan.

Ini termasuk memantau institusi kewangan, menetapkan dasar perbankan dan melindungi pengguna.

Kerjasama dengan institusi kewangan antarabangsa dan negara lain juga penting dalam mengekalkan kestabilan kewangan negeri termasuklah kerjasama dalam bidang perdagangan, pelaburan, kawalan kewangan dan pertukaran maklumat untuk menangani risiko yang melibatkan ekonomi global.

Kerajaan harus menyediakan pendidikan kewangan yang berkesan kepada orang ramai untuk membantu mereka menguruskan kewangan peribadi mereka.

Menggalakkan keusahawanan dan sektor swasta

Ahli akademik boleh menjadi pemacu keusahawanan dan memainkan peranan penting dalam membentuk generasi usahawan berkualiti dan menyokong pertumbuhan dan kemampanan sektor swasta.

Melalui program pendidikan keusahawanan yang menyediakan latihan praktikal, bimbingan dan sumber kepada pelajar boleh menggerakkan usaha untuk menyokong pelajar yang berminat dengan menawarkan pelbagai inisiatif pengukuhan dan tambah nilai, khususnya kepada tenaga pengajar, pelajar dan menyediakan prasarana iaitu sebagai modal permulaan untuk menjalankan perniagaan di kampus.

Selain itu, dalam usaha tersebut kerajaan perlu memudahkan proses permit, peraturan dan birokrasi yang berkaitan dengan penubuhan dan pembangunan perniagaan.

Keadaan ini boleh mendorong lebih ramai orang untuk melibatkan diri dalam keusahawanan dan menggalakkan pertumbuhan sektor swasta.

Membina rangkaian dan komuniti keusahawanan yang kukuh boleh membantu dalam perkongsian pengetahuan, pengalaman dan peluang perniagaan.

Seterusnya, membentuk perkongsian dengan syarikat atau jenama yang lebih besar boleh membantu produk industri kecil dan sederhana mendapat pendedahan yang lebih besar.

Perkongsian sedemikian mungkin melibatkan kerjasama dalam pembangunan produk bersama, pengedaran dan pemasaran.

Dalam pada itu, kerajaan boleh meningkatkan akses kepada pembiayaan untuk sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta usahawan mikro dalam meningkatkan ekonomi negara.

Kerajaan boleh membangunkan program pinjaman dan sokongan kewangan khas, memudahkan akses kepada modal kerja dan meningkatkan celik kewangan untuk menggalakkan aktiviti ekonomi di peringkat yang lebih luas.

Meningkatkan kesihatan ekonomi

Kesihatan ekonomi yang baik boleh menarik pelaburan dari dalam dan luar negara.

Pelaburan yang kukuh dan mampan membolehkan pembangunan sektor ekonomi yang berpotensi tinggi, seperti industri pembuatan, infrastruktur, teknologi dan sektor perkhidmatan.

Oleh itu, ahli akademik memainkan peranan penting dalam meningkatkan kesihatan ekonomi melalui penyelidikan, menyampaikan pengetahuan dan menyumbang kepada prinsip dan amalan ekonomi.

Ahli akademik boleh memberi sumbangan besar kepada pembangunan ekonomi yang stabil dan sihat, membantu masyarakat dan pihak berkuasa membuat keputusan yang lebih baik dan memberikan hala tuju kepada sektor ekonomi untuk mencapai matlamat kemakmuran.

Dalam konteks ini, ahli akademik boleh melibatkan diri dalam aktiviti sosial dan kebajikan dengan penglibatan komuniti dengan membentuk jawatankuasa atau kumpulan komuniti untuk bekerjasama dan memberikan pandangan dalam memilih dan melaksanakan inisiatif sosial.

Melalui pendekatan holistik dan kolaboratif ini, usaha untuk meningkatkan aktiviti sosial dan nilai murni boleh memberi impak yang lebih besar dan memperkasakan masyarakat untuk mencapai kemakmuran yang lebih baik.

Akhirnya, pertumbuhan ekonomi memberi kesan positif kepada pendapatan negara, produktiviti dan kemakmuran umum.

Hal ini menyediakan sumber dan hasil yang diperlukan untuk negara membiayai pembangunan infrastruktur, program sosial dan perkhidmatan awam. Keadaan ini mengurangkan risiko krisis kewangan, kebankrapan korporat dan turun naik pasaran.

Kestabilan kewangan membolehkan pelaburan yang lebih baik, mengekalkan keyakinan pelabur dan menggalakkan pertumbuhan jangka panjang.

Sebenarnya, pemulihan ekonomi memberi kesan langsung kepada kesejahteraan rakyat.

Dengan memulihkan pekerjaan, meningkatkan pendapatan, dan meningkatkan akses kepada perkhidmatan awam, orang ramai akan mengalami peningkatan kualiti hidup, pengurangan kemiskinan, dan peningkatan sosial secara keseluruhan.

Maklumat Penulis

Pensyarah Utama, Jabatan Perdagangan, Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, Kedah, Dr Nor Aziza Abdul Aziz

Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok