TPNS bantu kurangkan beban pelajar dalam dan luar negeri
Mengingat pengorbanan besar ayahnya, seorang anggota polis yang pernah terlibat dalam operasi ketika tragedi pencerobohan di Lahad Datu berlaku menyebabkan seorang penuntut Universiti Malaysia Sabah (UMS) ingin belajar bersungguh-sungguh untuk mencapai cita-citanya menjadi doktor.
Namun untuk berada di peringkat itu, Hazel Ann Xavier, 18, yang kini sedang mengikuti program Asasi Sains sudah pasti akan menghadapi pelbagai cabaran termasuk berhadapan dengan kos pendidikan yang tinggi.
Bagaimanapun, mujur Hazel Ann antara penuntut yang terpilih mendapat tajaan daripada Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) yang ditaja oleh kerajaan Sabah.
Menurut anak sulung daripada empat beradik itu, wang tajaan yang diterima akan digunakan sebaik-baiknya untuk membantu mengurangkan beban kedua ibu bapa yang menyara mereka.
"Bapa saya seorang anggota polis, ibu pula kerani dan saya mempunyai tiga lagi adik yang masih bersekolah. Jadi sekurang-kurangnya dengan bantuan ini dapat membantu mengurangkan beban kedua ibu bapa saya.
"Lagipun, saya juga berhasrat untuk menyambung pengajian dalam bidang perubatan jadi sudah tentu memerlukan kos yang tinggi untuk membayar yuran nanti," katanya ketika ditemui sebagai salah seorang penerima bantuan TPNS di Wisma Bandaraya, Kota Kinabalu, Sabah pada Selasa.
Bantuan kewangan itu disampaikan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah merangkap Exco Pendidikan Sabah, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif.
Anak kelahiran Lahad Datu itu berkata, dia terkesan dengan pengorbanan bapa ketika insiden pencerohan yang berlaku di daerahnya pada 2013.
"Walaupun ketika itu saya masih berusia tujuh tahun tetapi kini apabila mendengar cerita mengenai kejadian itu, saya amat terkesan.
"Jadi saya mahu pastikan saya dapat mencapai cita-cita supaya dapat membalas jasa mereka nanti," katanya.
Seorang lagi wakil penerima bantuan TPNS, Mahmud Idi, 62, berkata, bantuan kewangan yang disampaikan itu akan membantu perbelanjaan harian anak sulungnya, Muhammad Amirul Amin, 27, yang kini sedang belajar di Riyadh, Arab Saudi.
"Anak saya kini berada di semester pertama untuk pengajian Bahasa Arab di Riyadh sebelum dia menyambung pengajian di peringkat sarjana nanti.
"Setakat ini alhamdulillah ada bantuan lain cuma dari segi keperluan harian termasuk makan di sana kosnya sangat tinggi.
"Contohnya untuk makan sahaja dia memerlukan 30 riyal (RM35.60) sehari dan itu menyebabkan kadang-kadang anak saya maklumkan dia hanya makan sekali saja," katanya.
Sementara itu, Mohd Arifin ketika ditemui pemberita berkata, setakat ini lebih RM8.5 juta telah disalurkan kepada lebih 8,000 pelajar Sabah melalui TPNS tersebut.
"Kebanyakan untuk yuran pendidikan mereka dan mereka yang disenaraikan dalam e-Kasih turut diberikan yuran untuk satu semester.
"Selain itu turut ditambah RM2,000 untuk wang saraan hidup pelajar tersebut," katanya.