No Image Caption

Rehlah Sains 2024 pupuk minat STEM dalam kalangan pelajar agama dan tahfiz Pantai Timur

17 Oct 2024 07:31pm

Program Rehlah Sains 2024, anjuran Pusat Sains Negara (PSN) Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) di bawah inisiatif SciTech4U, bakal berlangsung bermula 16 hingga 30 Oktober ini.

Ia menjelajah ke ssekolah agama dan tahfiz di negeri Kelantan, Terengganu, dan Pahang.

Program ini bertujuan mendekatkan pelajar agama dan tahfiz kepada aktiviti sains, teknologi, kejuruteraan, dan matematik (STEM), sekali gus menyemarakkan minat mereka dalam bidang berkenaan.

Teroka STEM melalui pendekatan holistik

Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan Sains) Mosti, Ruziah Shafei berkata, menerusi Program Rehlah Sains 2024, PSN mengetengahkan pelbagai aktiviti pembelajaran interaktif yang berkonsepkan Hands On, Minds On, Hearts On.

Objektif utama program ini memupuk minat terhadap bidang STEM dalam kalangan pelajar agama dan tahfiz serta melahirkan generasi yang berfikiran kreatif, berinovasi serta berdaya saing.

Beliau juga berkata, program ini membabitkan sebanyak sembilan buah sekolah agama dan tahfiz dari negeri Pantai Timur antaranya Sekolah Menengah Agama Falahiah Sungai Sok di Kuala Krai, Maahad Tahfiz Sains Bustanul Arifin di Tumpat dan Maahad Tahfiz Wal Tarbiyyah Darul Iman di Terengganu.

Pameran bergerak PSN Trooperz On the Move akan menjelajah selama 15 hari untuk membawa sains kepada para pelajar di lokasi ini.

Uniknya Rehlah Sains 2024

Pengarah Pusat Sains Negara, Mohammad Fuad Rahman berkata, yang membezakan program ini adalah pendekatan holistik yang menggabungkan elemen STEM dengan nilai-nilai agama.

Melalui bimbingan daripada pakar STEM dan mentor agama, pelajar dapat mengaitkan sains dengan ajaran Islam, sekali gus memberi perspektif yang lebih luas mengenai manfaat kedua-duanya.

Antara aktiviti menarik yang disediakan ialah Cabaran STEM, Pertunjukan Sains yang mencetuskan 'wow factor', serta bengkel falak dan astronomi yang mengaitkan sains dengan Islam. Program ini turut memperkenalkan teknologi terkini seperti robotik dan kecerdasan buatan (AI) kepada para peserta.

Program ini mendapat sokongan pelbagai agensi di bawah Mosti seperti Planetarium Negara, Jabatan Kimia Malaysia, Jabatan Tenaga Atom Malaysia dan Akademi Sains Malaysia, selain kolaborasi bersama agensi tempatan dari negeri Kelantan, Terengganu serta Pahang.

Dianggarkan lebih daripada 5,000 pelajar mendapat manfaat daripada program ini.

Harapan MOSTI dan PSN adalah agar Program Rehlah Sains 2024 menjadi pemangkin kepada pembangunan bakat dalam bidang sains dan teknologi, serta menyokong agenda Malaysia Madani dalam pengupayaan modal insan untuk menghadapi Revolusi Industri 4.0.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp