U-DIGITALOKA UiTM tekankan pendekatan komunikasi digital
Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM) dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), dengan kerjasama Kementerian Digital Malaysia menganjurkan program U-DIGITALOKA di Dataran Digital Interaktif, Menara Sultan Abdul Aziz Shah, UiTM Shah Alam, baru-baru ini.
Berunsurkan tema “Transforming Tomorrow”, program ini bertujuan untuk melengkapkan pelajar dengan kemahiran komunikasi digital melalui aktiviti menarik seperti pameran seni digital, pameran permainan video Roblox, dan sesi forum bersama pencipta kandungan digital terkemuka, Adam Raden serta M. Shaffuan.
Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Digital Malaysia, Shakib Ahmad Shakir hadir untuk menyempurnakan program tersebut menyatakan program ini memberikan peluang kepada pelajar dan masyarakat untuk mendapat pendedahan yang lebih meluas tentang komunikasi digital.
“Program ini akan menyerlahkan potensi dan peluang digital dalam pelbagai industri untuk para pelajar teroka dan manfaatkan dalam aktiviti harian mereka,” kata beliau.
Tambah beliau lagi, menerusi program ini pelajar akan mengetahui potensi teknologi digital terkini dan kegunaannya dalam menubuhkan rangkaian profesional di alam pekerjaan kelak.
Pengarah Projek U-DIGITALOKA, Nur Aisyah Mohammad Raziff berkata program ini dilaksanakan di bawah Prior Agency, sebuah agensi yang ditubuhkan oleh pelajar semester lima dari kursus perhubungan awam.
“Pelajar semester empat dari kursus Periklanan, Pengurusan, Komunikasi dan Polisi, turut serta memberi bantuan dalam usaha menjayakan U-DIGITALOKA,” ujar beliau.
Beliau berkata lagi, penglibatan aktif daripada pelajar dalam merancang dan melaksanakan program ini juga menunjukkan komitmen UiTM dalam menyokong pembelajaran berasaskan pengalaman dan penyediaan peluang latihan yang praktikal kepada pelajar.