UiTM berperanan penting membantu kerajaan merealisasikan sasaran melahirkan 51 peratus golongan profesional dan teknokrat dalam kalangan bumiputera. (Gambar hiasan)
UiTM berperanan penting membantu kerajaan merealisasikan sasaran melahirkan 51 peratus golongan profesional dan teknokrat dalam kalangan bumiputera. (Gambar hiasan)

UiTM berperanan penting lahir golongan profesional, teknokrat bumiputera - TPM

25 Jun 2024 01:18pm
A
A
A

Universiti Teknologi Mara (UiTM) berperanan penting bagi membantu kerajaan merealisasikan sasaran melahirkan 51 peratus golongan profesional dan teknokrat dalam kalangan bumiputera.

Memetik laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM), Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, usaha itu perlu, memandangkan tidak ada satu bidang profesional dan teknikal yang bumiputera telah mencapai kadar peratusan tersebut.

"Suatu ketika dahulu, UiTM di atas nama ITM (Institut Teknologi Mara) mempunyai seorang Arshad Ayub (tokoh pendidikan negara, Allahyarham Tun Arshad Ayub) yang sangat ke hadapan, dalam bidang pendidikan profesional dan teknikal.

"Saya dan kerajaan tentunya mengharapkan seorang lagi Arshad Ayub dapat diwujudkan di UiTM, agar apabila kita kembali ke landasan asal maka pencapaian itu akan dapat dilakukan dalam kadar segera," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Program Karisma Pemikir Madani Kepimpinan Tertinggi Pentadbiran UiTM Seluruh Malaysia di Kuala Lumpur pada Isnin.

Ahmad Zahid (tengah) ketika sidang media selepas menghadiri Program Karisma Pemikir Madani bersama kepimpinan tertinggi pentadbiran UiTM seluruh Malaysia, di ibu kota. Turut hadir ialah Azalina (dua dari kanan).
Ahmad Zahid (tengah) ketika sidang media selepas menghadiri Program Karisma Pemikir Madani bersama kepimpinan tertinggi pentadbiran UiTM seluruh Malaysia, di ibu kota. Turut hadir ialah Azalina (dua dari kanan).

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada barisan kepimpinan dan profesional UiTM dan berharap agar pertemuan itu dapat diteruskan dalam usaha mencapai objektif mengeluarkan profesional dan ahli teknokrat dalam negara.

Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.

Program Karisma Pemikir Madani Kepimpinan Tertinggi UiTM Seluruh Malaysia dianjurkan Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM) dengan kerjasama UiTM, yang antara lain bertujuan memperkasa hala tuju institusi itu selaras dengan agenda Malaysia Madani dan penghayatan Rukun Negara.

Program yang julung kali diadakan ini, telah mengumpulkan seramai 74 orang peserta terdiri daripada kepimpinan tertinggi UiTM seluruh negara. - Bernama

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok