UiTM tampil memberi penjelasan berhubung dakwaan tular dalam talian yang menyatakan program Kem Jati Diri dan Kerohanian Siri ke-20 memaksa penuntut bukan Islam menghadiri acara keagamaan Islam.
UiTM tampil memberi penjelasan berhubung dakwaan tular dalam talian yang menyatakan program Kem Jati Diri dan Kerohanian Siri ke-20 memaksa penuntut bukan Islam menghadiri acara keagamaan Islam.

UiTM jawab dakwaan penuntut bukan Muslim ikuti program keagamaan Islam

MOHD IZZATUL IZUAN TAHIRMOHD IZZATUL IZUAN TAHIR
15 Jan 2025 09:37am

Universiti Teknologi Mara (UiTM) tampil memberi penjelasan berhubung dakwaan tular dalam talian yang menyatakan program Kem Jati Diri dan Kerohanian Siri ke-20 memaksa penuntut bukan Islam menghadiri acara keagamaan Islam.

UiTM dalam kenyataannya menjelaskan, program itu sebahagian daripada kursus kokurikulum Kesatria Negara dan Kesatria Kembara yang bertujuan membentuk mahasiswa seimbang dari segi sahsiah, intelek dan spiritual.

Jelas UiTM, program itu menggabungkan elemen seperti disiplin, patriotisme, pertolongan cemas, rekreasi, dan nilai kerohanian untuk pelajar Muslim, manakala penuntut bukan Islam didedahkan kepada ceramah etika sosial yang sesuai dengan keperluan mereka.

Program Kem Jati Diri dan Kerohanian Siri ke-20 diadakan di Masjid Al-Wathiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin, UiTM Shah Alam, 11 Januari lalu.

Program itu melibatkan seramai 2,447 penuntut semester pertama termasuk 34 daripadanya bukan Islam dari kursus Kokurikulum Kesatria Negara 1, Kembara 1, dan Pancaragam 1.

Menurut UiTM, aktiviti dirancang secara teliti itu memberi fokus kepada pembangunan sahsiah, intelek dan spiritual, mencerminkan komitmen universiti itu dalam melahirkan mahasiswa holistik, berintegriti dan bersedia menyumbang kepada masyarakat.

UiTM memaklumkan, program itu melibatkan penuntut daripada kursus kokurikulum Kesatria UiTM.

"Pelajar Muslim mengikuti ceramah pengurusan jenazah di ruang utama masjid, manakala penuntut bukan Islam menghadiri ceramah etika sosial yang berlangsung selama dua jam di Dewan Muktamar bermula jam 2.30 petang hingga 4.30 petang.

Artikel Berkaitan:

"Ceramah etika sosial bertujuan memberi pemahaman tentang nilai etika dalam kehidupan bermasyarakat termasuk di rumah, tempat kerja dan ruang awam.

"Selepas sesi ceramah tamat, penuntut bukan Muslim menikmati minum petang sebelum dibenarkan pulang," jelas kenyataan itu.

Tambah kenyataan itu lagi, tujuan utama program adalah membentuk individu dengan kesedaran sosial tinggi dan nilai sahsiah unggul.

"Penggunaan lokasi berhampiran seperti masjid dan Dewan Muktamar mempermudah pengurusan, menjimatkan masa dan sumber logistik serta memastikan peserta dapat mengikuti aktiviti secara teratur tanpa gangguan.

"UiTM memandang serius kekeliruan yang timbul akibat isu komunikasi dan poster program," jelas kenyataan itu.

Dalam pada itu, kenyataan itu memaklumkan, Pusat Kokurikulum UiTM akan mengkaji semula prosedur penganjuran program bagi memastikan pelaksanaannya lebih efisien pada masa depan.

"Penambahbaikan ini termasuk ketelitian dalam penyampaian maklumat dan bahan promosi untuk mengelakkan salah faham," jelas kenyataan itu.

Sehubungan itu, UiTM menegaskan program Kem Jati Diri dan Kerohanian itu dijalankan dengan menghormati sensitiviti agama dan budaya semua peserta.

"UiTM kekal memastikan aktiviti kokurikulum memenuhi prinsip inklusiviti dan profesionalisme serta menyumbang kepada pembangunan mahasiswa berdaya saing dan berintegriti tinggi," menurut kenyataan.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp