Fahmi menyampaikan amanat pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi pada Selasa.
Fahmi menyampaikan amanat pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi pada Selasa.

Amalan 'sharenting' buka ruang jenayah dalam talian libatkan kanak-kanak

17 Dec 2024 04:55pm

Amalan sharenting atau amalan menunjuk-nunjuk perkara berkaitan anak-anak oleh segelintir ibu bapa, membuka ruang kepada jenayah dalam talian terutama melibatkan golongan kanak-kanak, kata Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.

Beliau berkata, terdapat ibu bapa yang 'over share' mengenai maklumat persekolahan anak mereka termasuk pakaian dan lencana sekolah, sekali gus menjadi sasaran pihak tidak bertanggungjawab untuk menyalah guna maklumat tersebut.

"Jika ada anak yang berusia bawah 13 tahun, jangan benarkan mereka membuka akaun media sosial dan saya juga ingin mengingatkan kita semua untuk lebih berhati-hati dengan apa yang kita kongsi dalam talian...kita tidak tahu siapa yang akan menyimpan dan menggunakan maklumat tersebut.

"Malah di Facebook, mereka letak gambar budak kecil berbaju kurung dan ada kumpulan ini yang mempunyai puluhan ribu ahli menyatakan perkara tidak senonoh. Saya tak nak kita ambil sambil lewa isu keselamatan dalam talian, kemudaratan dalam talian ini benar-benar berlaku," katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi bagi Disember di Putrajaya pada Selasa.

Perkataan sharenting pada asasnya ialah gabungan daripada dua perkataan bahasa Inggeris iaitu sharing dan parenting; dan istilah sharenting merujuk kepada fenomena perkongsian foto dan video anak-anak serta maklumat pengenalan diri yang lain oleh ibu bapa pada akaun media sosial mereka sendiri.

Fahmi turut mencadangkan agar satu ikrar berhubung keselamatan dalam talian melibatkan kanak-kanak diperkenalkan menjelang tahun depan di peringkat Kementerian Komunikasi yang akan menjadi komitmen rasmi warga kementerian bagi meningkatkan kesedaran keselamatan dalam talian.

Mengenai lesen perkhidmatan media sosial yang akan berkuat kuasa pada 1 Januari depan, Fahmi menegaskan keputusan berkenaan adalah bagi memastikan platform media sosial mematuhi undang-undang Malaysia dan bertanggungjawab terhadap aktiviti yang berlaku di dalam platform mereka.

"Niat kita bukan untuk kekang hak mereka untuk niaga dan beroperasi di Malaysia, tapi kita dapati banyak masalah berlaku dan platform ini tidak tegas untuk patuhi undang-undang dalam negara kita.

Artikel Berkaitan:

"Di Facebook sahaja, kami diberitahu bahawa platform itu menjana keuntungan RM2.5 bilion melalui jualan iklan termasuk iklan scam dan perjudian dalam talian yang menyebabkan kerugian besar kepada rakyat Malaysia.

"Jabatan Siasatan Jenayah Komersial melaporkan rakyat Malaysia kerugian RM432 juta akibat scam di Facebook," katanya dan menambah adalah menjadi komitmen kerajaan dalam memastikan penggunaan Internet selamat bagi semua pihak.

Semua perkhidmatan media sosial dan pesanan internet yang ketika ini mempunyai sekurang-kurangnya lapan juta pengguna berdaftar di negara ini, perlu memohon Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588). - Bernama

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp