Kumpulan AgroMIND tampil sebagai juara berganda di Konvensyen KIK 2024.
Kumpulan AgroMIND tampil sebagai juara berganda di Konvensyen KIK 2024.

UiTM johan keseluruhan Konvensyen KIK 2024

12 Aug 2024 12:18pm

Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) peringkat Universiti Awam (UA) diteruskan lagi buat kali ke-17 pada 7 dan 8 Ogos 2024 di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).

Kumpulan AgroMIND dari Fakulti Perladangan dan Agroteknologi (FPA), Universiti Teknologi Mara (UiTM) muncul johan keseluruhan konvensyen KIK, menewaskan 27 KIK dari semua UA yang menyertai konvensyen dwitahunan ini.

Mereka turut memperoleh kemenangan berganda kerana berjaya merangkul anugerah johan bagi kategori Inovasi Sosial dengan membawa pulang wang tunai bernilai RM 6,000 beserta sijil dan trofi serta Anugerah Penarafan Emas.

Kemenangan itu adalah hasil gabungan kakitangan UiTM terdiri daripada pensyarah, staf pentadbiran dan staf sokongan iaitu Mohamad Zaharudin Sariman, Salwa Adam, Dr Nur Maizatul Idayu Othman, Natasha Afzan Tamby Husin, Dr Nur Suraya Abdullah dan Nurulhuda Abdul Rahim.

Selain itu, Nurul Wahida Ramli, Nur 'Amira Hamid, Dr Nur Badriyah Kamarul Zaman dan Wan Azizi Wan Mat turut menyertai kumpulan tersebut termasuk Juliana Karim yang bertugas sebagai fasilitator.

Produk inovasi yang dipertandingkan dikenali ‘Dynamic Cultivator Blade’ iaitu rekaan mata bilah dwifungsi disambungkan pada mesin rumput dan dicipta bagi meningkatkan kecekapan dalam aktiviti merumput serta menggembur tanah dalam peringkat penyediaan tapak penanaman berskala kecil.

Untuk makluman, Konvensyen KIK anjuran UiTM bertujuan menyuntik semangat dan memberikan dorongan kepada semua warga universiti untuk terus mengembangkan idea-idea baharu yang bersifat inovatif.

Majlis penutup konvensyen dirasmikan Naib Canselor UMPSA, Profesor Datuk Ts Dr Yuserrie Zainuddin.

Hadir sama Penolong Naib Canselor Institut Kualiti dan Perkembangan Ilmu (inkQA) UiTM; Profesor Dr Azizah Abdullah; Dekan Fakulti Perladangan dan Agroteknologi UiTM, Profesor Ts Dr Azhan Hashim @ Ismail dan Pengarah Pengurusan Kualiti, Inovasi dan Kecemerlangan Operasi inkQA UiTM, Profesor Madya Ts Dr Ing Shahrul Azam Abdullah.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp