No Image Caption

UiTM Johor juara PDC3.0: Kampus tanpa tunai semakin menjadi realiti!

NURBAYA ABDUL REZAKNURBAYA ABDUL REZAK
04 Mar 2025 02:51pm

Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Johor, meraih kejayaan gemilang apabila dinobat sebagai juara dalam kategori Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) bagi institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) dalam kempen PayNet Digital Campus 3.0 (PDC3.0).

Kemenangan ini membuktikan komitmen UiTM Johor dalam memacu transformasi ke arah kampus tanpa tunai.

Kempen yang dianjurkan oleh Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) itu, menyaksikan sebanyak penyertaan 30 institusi pengajian tinggi (IPT), termasuk 25 universiti awam (UA) dan lima institusi pengajian tinggi swasta (IPTS).

Dengan lebih 24 juta transaksi direkodkan sepanjang program ini, kejayaan PDC3.0 mencerminkan lonjakan besar dalam penggunaan pembayaran digital di kampus-kampus seluruh negara.

Dalam kategori universiti awam (UA), UiTM Cawangan Perak muncul juara dengan 66 transaksi per kapita, diikuti UiTM Cawangan Sabah dan UiTM Cawangan Johor di tempat kedua dan ketiga.

Bagi kategori IPTS pula, Universiti Teknologi Petronas (UTP) merangkul tempat pertama diikuti Asia Pacific University (APU).

Anugerah khas turut diberikan kepada beberapa institusi atas kejayaan mencatat lebih sejuta transaksi sepanjang tempoh kempen antaranya Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Malaya (UM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

No Image Caption

Artikel Berkaitan:

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PayNet, Farhan Ahmad berkata, peningkatan jumlah transaksi dan penyertaan institusi membuktikan bahawa transformasi tanpa tunai dalam sektor pendidikan semakin mendapat sambutan.

"Dengan mempromosikan kampus tanpa tunai, kita bukan sahaja menyediakan pelajar untuk masa depan digital, malah memperkukuh keterangkuman kewangan. PayNet memperkasakan pelajar dengan kemahiran kewangan digital agar mereka dapat memanfaatkan ekonomi digital negara yang semakin berkembang," katanya selepas majlis itu.

Acara pengumuman pemenang PDC3.0 dan pelancaran PDC4.0 berlangsung di PayNet Digital Campus 2025 Summit di Hotel Marriott Putrajaya, yang turut menampilkan sesi perbincangan bersama pakar industri dan pemimpin universiti mengenai masa depan pembayaran digital di sektor pendidikan Malaysia.

PDC3.0 juga menampilkan format unik yang diinspirasikan daripada rancangan Shark Tank, di mana MPP setiap institusi membentangkan kempen mereka untuk mendapatkan dana bagi menggalakkan penggunaan pembayaran digital di kampus. Kempen yang berjaya kemudian dilaksanakan bermula Oktober hingga Disember 2024, dengan institusi terbaik merekodkan sehingga 1.5 juta transaksi.

No Image Caption

Kemahiran digital

Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Profesor Dr Azlinda Azman berkata, kejayaan PDC3.0 mencerminkan peranan penting institusi pendidikan tinggi dalam transformasi digital negara.

"Dengan memupuk budaya tanpa tunai, kita bukan sahaja memodenkan ekosistem universiti tetapi membekalkan pelajar dengan literasi kewangan dan kemahiran digital yang penting untuk masa depan ekonomi negara," katanya.

Majlis itu turut menyaksikan pelancaran PayNet Digital Campus 4.0 (PDC4.0), yang akan terus menggalakkan penggunaan e-pembayaran dalam kalangan pelajar universiti. Pendaftaran bagi program ini kini dibuka kepada institusi pengajian tinggi dengan populasi pelajar melebihi 3,000 orang.

Menurut Pengarah Kanan Bahagian Pendigitalan Kerajaan PayNet, Firdaus Ghani, pelancaran PDC4.0 akan mempercepat transformasi digital di sektor pendidikan Malaysia.

"Kami berharap untuk melihat lebih banyak inovasi daripada para pelajar dalam memacu Malaysia menjadi negara tanpa tunai sepenuhnya," katanya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp