UPTM bakal jadi IPTS pertama tawarkan Ijazah Sarjana Muda AI
Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) bakal mencipta sejarah sebagai Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) pertama di Malaysia yang menawarkan program Sarjana Muda Kecerdasan Buatan (AI) (Kepujian) selaras dengan permintaan tinggi terhadap pakar AI di pasaran.
Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UPTM, Profesor Dr Muhamad Nizam Jali berkata, AI merupakan bidang baharu yang menawarkan prospek kerjaya luas menjadikannya satu pilihan strategik bagi pelajar yang ingin menceburi bidang tersebut.
"Setakat ini, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) mendahului bidang ini. Kami berhasrat menjadikan UPTM sebagai IPTS dan institusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) yang pertama menawarkan bidang ini," katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas pelancaran pembangunan program Sarjana Muda Kecerdasan Buatan (AI) (Kepujian) dan buku bertajuk Ada Apa Dengan AI yang dilancarkan Ketua Pengarah Mara, Datuk Seri Azhar Abdul Manaf di Kuala Lumpur.
Mengulas lanjut, Muhamad Nizam berkata, program tersebut akan bermula hujung tahun ini dan syarat kemasukan adalah pelajar perlu mempunyai sijil, diploma atau asasi dalam bidang Teknologi Maklumat (IT), Sains Komputer atau yang berkaitan dengan tempoh pengajian selama tiga tahun.
Sementara itu, Dekan Fakulti Pengkomputeran dan Multimedia UPTM, Dr Saifuddin Mohtaram, menjelaskan bahawa program ini menawarkan dua laluan utama iaitu AI in Finance (AI dalam Kewangan) atau AI in Business (AI dalam Perniagaan) serta AI for Big Data (AI untuk Data Raya).
"Sepanjang pengajian, pelajar akan mempelajari Fundamental of Computer Science (Asas Sains Komputer) dan Fundamental AI (Asas AI) sebelum mendalami laluan khusus pilihan mereka.
"Pendekatan kami lebih menumpukan kepada Applied AI (AI gunaan) di mana pelajar akan mempelajari cara menggunakan AI secara praktikal dalam dunia perniagaan atau dalam kerjaya seperti jurutera data (data engineer).
"AI merangkumi pelbagai cabang seperti Pemprosesan Bahasa Semula Jadi (NLP) dan Computer Vision, yang masing-masing memerlukan kepakaran khusus. Alhamdulillah, UPTM telah berjaya membangunkan tenaga pengajar bagi bidang-bidang ini," katanya menambah UPTM mempunyai tenaga pengajar berkelayakan dalam bidang AI termasuk pensyarah yang memiliki Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dan Sarjana dalam disiplin berkaitan.
Ketika ditanya mengenai sukatan pelajaran program baharu ini, Saifuddin menjelaskan bahawa ia dibangunkan mengikut garis panduan terkini dikeluarkan oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) pada Oktober lalu.
"Kami mematuhi advisory note MQA serta bekerjasama dengan universiti lain untuk membangunkan silibus ini. Kami juga merujuk program yang ditawarkan universiti luar negara bagi memastikan kursus yang disediakan selaras dengan perkembangan terkini dalam bidang AI,” katanya.
Turut dilancarkan ialah Karnival Pendidikan Pascasiswazah UPTM yang berlangsung sehingga Khamis.
Karnival ini menampilkan pelbagai sesi perkongsian pakar melalui forum industri dan ceramah perdana berkaitan pembangunan teknologi AI serta prospek kerjaya dalam bidang perakaunan.
Antara panel yang terlibat dalam sesi perkongsian tersebut termasuk wakil dari Institut Kajian Bumiputera (IKEB), Institut Setiausaha dan Pentadbir Bertauliah Malaysia (MAICSA), Persatuan Akauntan Profesional Bertauliah Antarabangsa (AICPA) dan Institut Akauntan Pengurusan Bertauliah (CIMA) serta beberapa organisasi industri lain. - Bernama