UiTM perkenal kaedah potongan gaji laksana ibadah korban
Setiap tahun, Universiti Teknologi MARA (UiTM) membuka peluang kepada warga kampus untuk menunaikan ibadah korban melalui kaedah potongan gaji serendah RM80 selama 10 bulan sebelum ibadah korban dilaksanakan.
Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Profesor Emeritus Datuk Dr Raduan Che Rose berkata, kaedah potongan gaji itu dilihat memudahkan warga UiTM menyempurnakan niat mereka untuk menunaikan ibadah yang sangat dituntut dalam Islam.
“Seramai 144 kakitangan UiTM telah menjadi peserta program korban tahun ini.
“Tahniah dan terima kasih kepada semua yang terbabit. Semoga ibadah korban ini mendapat keberkatan dan diberikan ganjaran pahala daripada ALLAH,” ujarnya.
Terdahulu, sebanyak 26 ekor lembu dan 22 ekor kambing telah dikorbankan sempena Majlis Ibadah Korban dan Akikah Peringkat UiTM 2024 di Tapak Korban UiTM, Shah Alam, Selangor pada Rabu.
UiTM turut menerima seekor lembu korban sumbangan RHB Bank yang disampaikan Ketua Pegawai Eksekutif RHB Islamic Bank Bhd, Datuk Adissadikin Ali.
Pemberian itu adalah sebagai inisiatif sektor perbankan tersebut melaksanakan khidmat sosial dan pembangunan kerohanian di UiTM.
Para sukarelawan yang terdiri daripada staf dan mahasiswa terlibat dalam proses melapah, memotong, membungkus, mengagih dan memasak daging korban.
Turut serta, Penolong Naib Canselor (Pemerkasaan Adiwangsa), Profesor Dr Amer Shakir Zainol dan Ahli Majlis Eksekutif Universiti, Hanafi Hamdani.
Akhir sekali, lebih 300 staf B40 dan penghuni Rumah Anak Yatim menjadi penerima agihan daging korban UiTM.