Kontinjen UiTM mengekalkan status sebagai universiti awam terbaik dalam temasya SUKANUN 2025.
Kontinjen UiTM mengekalkan status sebagai universiti awam terbaik dalam temasya SUKANUN 2025.

UiTM raih podium keseluruhan di Bota

ZURAIMEE ZAINALZURAIMEE ZAINAL
13 Sep 2025 11:02pm

Kontinjen Universiti Teknologi Mara (UiTM) menutup tirai Karnival Sukan Badan Berkanun (SUKANUN) Ke-13 2025 dengan pencapaian membanggakan apabila merangkul tempat ketiga keseluruhan sekali gus mengekalkan status sebagai universiti awam terbaik dalam temasya kali ini.

Antara penyumbang utama kejayaan UiTM di Bota, Perak adalah pasukan petanque lelaki yang berjaya mempertahankan kejuaraan dari edisi lalu, selain kejutan manis daripada pasukan berbasikal yang buat julung kalinya meraih emas acara kriterium dengan menundukkan dua gergasi Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Kejayaan bersejarah itu menyumbang kutipan mata tertinggi buat kontinjen UiTM, diikuti tambahan pingat daripada petanque wanita (perak) serta tiga gangsa masing-masing menerusi tenis berpasukan, boling padang wanita dan golf.

Sistem pungutan mata dengan penyertaan menyeluruh UiTM dalam pelbagai acara turut membantu kontinjen mara ke peringkat suku akhir dan separuh akhir sekali gus mengukuhkan kedudukan di podium keseluruhan.

Ketua Kontinjen UiTM yang juga Timbalan Naib Canselor (HEP) merangkap Presiden Persatuan Sukan dan Kebajikan Kakitangan (PSKK) UiTM, Profesor Dr Mohd Sazali Shahibi menyifatkan kejayaan ini sebagai hasil perancangan rapi serta sokongan padu pengurusan universiti.

"Kemenangan petanque lelaki dan emas bersejarah berbasikal kriterium membuktikan bahawa dengan perancangan strategik, pemilihan atlet berasaskan prestasi semasa melalui Karnival Sukan Staf UiTM (KARiSTA) serta semangat kesukanan yang tinggi, staf UiTM mampu menyerlah di peringkat kebangsaan.

"Kami percaya momentum ini akan menjadi pemangkin kepada lebih banyak kejayaan pada masa depan," katanya.

Temasya yang berlangsung dari 9 hingga 13 September itu menyaksikan penyertaan 3,702 atlet dan 616 pegawai daripada 58 agensi kerajaan dengan mempertandingkan 17 acara sukan.

Artikel Berkaitan:

DBKL muncul juara keseluruhan dengan pungutan 112 mata manakala Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di tangga kedua dengan 111 mata.

Pada masa sama, Mohd Sazali turut merakamkan penghargaan kepada semua atlet, jurulatih dan warga universiti yang sentiasa memberikan sokongan moral serta material sekali gus menjadikan pencapaian podium ini sebagai kejayaan bersama.

 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp